
RANAU: Enam orang cedera manakala seorang terselamat selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan dekat sini, Rabu.
Kemalangan berlaku kira-kira jam 3.20 petang di hadapan 99 Speedmart, Jalan Lohan Ranau, membabitkan dua Isuzu D-Max dan sebuah Proton Persona. Ketiga-tiga kenderaan terbabas lalu terbalik di tengah jalan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ranau Rantey Fred berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan sebelum menghantar sepasukan enam anggota diketuai Komander Operasi PBKII Newmond None ke lokasi.
“Sebaik tiba di lokasi yang terletak kira-kira 12 kilometer dari balai, kami mengesahkan tiga kenderaan terlibat dalam kemalangan itu.
“Tiga mangsa telah dihantar ke hospital oleh orang awam sebelum pasukan kami tiba manakala seorang lagi dihantar menggunakan kenderaan EMRS Jabatan Bomba,” katanya.
Anggota bomba turut melakukan pemeriksaan bagi memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian. Operasi tamat pada jam 4 petang.
Fred turut mengingatkan pengguna jalan raya agar lebih berhati-hati ketika memandu di kawasan itu, khususnya di laluan kampung yang sempit dan berselekoh.
“Pemandu harus lebih berwaspada ketika cuaca hujan serta di jalan yang rosak atau sedang dibaiki. Sentiasa peka, bertoleransi dengan pengguna jalan raya lain, dan pandu pada kelajuan selamat terutama di permukaan jalan yang tidak rata.
“Pandulah dengan cermat dan sentiasa peka dengan keadaan sekeliling – kita semua mahu pulang dengan selamat ke sisi insan tersayang.”

