
SANDAKAN: Tiga rumah atas air jenis tidak kekal musnah dalam kebakaran di Jambatan 5, Kampung Gas Tengah, di sini pada petang Rabu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Jimmy Lagung, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.41 tengah hari dan tiba di lokasi sejauh 15 kilometer dari balai pada jam 1.55 petang.
Seramai 14 anggota BBP Sandakan dikerahkan bersama Komander Operasi, Fauziah Samang, Ketua Zon 6 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sandakan, Jasri Jal, serta pegawai kanan termasuk Jimmy sendiri, Suriyadi Darwis dan Yanscale Konin.
“Operasi dikawal pada jam 2.19 petang dan ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.51 petang,” katanya.
Beliau menambah, sebanyak 37 rumah berdekatan berjaya diselamatkan selepas api dikawal, manakala tiada mangsa dilaporkan terlibat.
Turut membantu di lokasi ialah anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pasukan Respon Kecemasan (ERT) Kilang IOI berhampiran dan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat Sekong.
Punca kebakaran serta anggaran kerugian masih dalam siasatan.


