
ROMPIN – Tanda tanya mengenai kehilangan seorang wanita Orang Asli selama enam hari akhirnya terjawab apabila mangsa ditemukan maut di kawasan paya dekat Kampung Lesong, Kedaik, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Rompin, Superintendan Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, mayat mangsa, Kuang Poh, 73, ditemukan pada pukul 11.50 tengah hari di kawasan paya yang terletak kira-kira 500 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.
“Mangsa berjaya dibawa keluar oleh anggota polis dan dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Rompin untuk tindakan lanjut.
“Susulan itu operasi pencarian telah ditutup pada pukul 2 petang hari ini,” katanya di sini, hari ini.
Semalam Kosmo! Online melaporkan kehilangan seorang wanita Orang Asli yang keluar memancing di kawasan paya Kampung Lesong, di sini sejak lima hari lalu terus menjadi tanda tanya apabila mangsa masih belum ditemukan.
Mangsa yang berasal dari Kampung Api Larat Pekan dilaporkan hilang sejak Rabu lalu selepas pergi memancing seorang diri di kawasan paya Kampung Lesong pada pukul 3 petang.
Sharif Shai dilaporkan berkata, operasi pencarian yang melibatkan 46 orang diteruskan namun tiada petunjuk ditemukan. – KOSMO! ONLINE
The post 6 hari hilang: Wanita Orang Asli ditemukan maut appeared first on Kosmo Online.





