
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu
Walaupun kejadian gempa bumi telah beberapa kali berlaku di negeri tertentu Malaysia, namun kekerapannya adalah amat jarang.
Seperti pada Ogos lalu, beberapa siri gempa bumi berskala kecil telah dilaporkan di negeri Johor.
Malah gegaran itu bukan sahaja dirasai di beberapa lokasi di Johor, tetapi turut merangkumi kawasan di sekitar Negeri Sembilan, Melaka dan Selatan Pahang.
Baca Artikel Berkaitan: Sultan Pahang Titah Seluruh Negeri Adakan Solat Hajat Ekoran Gempa Bumi
Baca Artikel Berkaitan: Ini Langkah-langkah Penting Yang Perlu Diambil Tahu Jika Berlaku Gempa Bumi
Baca Artikel Berkaitan: Apa Perlu Buat Selepas Berlaku Gempa Bumi?
Kajian JMG Mendapati 6 Negeri Di Malaysia Berisiko Mengalami Gempa Bumi
Terbaharu, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) menerusi satu kajian mengenal pasti enam negeri di Malaysia berisiko mengalami gempa bumi iaitu Pahang, Terengganu, Perak, Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak.
Maklumat itu dimaklumkan oleh Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Huang Tiong Sii, ketika sesi di Dewan Rakyat semalam (6 Oktober).
Menurutnya, zon sesar di enam negeri telah dikenal pasti menerusi kajian pemetaan sesar aktif JMG dan Peta Seismotektonik Malaysia.
“Kajian yang dijalankan oleh JMG menerusi pemetaan sesar aktif dan Peta Seismotektonik Malaysia mendapati zon sesar di negeri-negeri ini terdedah kepada aktiviti seismik,” ujarnya.
Peta Bahaya Seismik Malaysia Sedang Dikemas Kini
Sehubungan itu, JMG dengan kerjasama Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), universiti tempatan dan agensi teknikal berkaitan kini sedang mengemas kini Peta Bahaya Seismik Malaysia.
Mengulas lanjut, Huang berkata kemas kini peta tersebut dilakukan dengan mengambil kira maklumat terkini termasuk kejadian gempa bumi yang berlaku baru-baru ini, kewujudan sesar aktif, bahan geologi dan maklumat siasatan tanah.
“Kejadian gempa bumi di Segamat dan Batu Pahat adalah satu proses pelarasan semula tenaga tektonik yang terkumpul dalam sesar kuno bagi menstabilkan semula kerak bumi.
“Ini dipengaruhi oleh lanjutan zon Sesar Mersing iaitu sistem sesar utama di Johor Timur. Berdasarkan data sedia ada dan terbaharu, Segamat khususnya dan Johor amnya masih berada dalam zon selamat,” katanya dipetik Berita Harian.
Tambahnya lagi, MetMalaysia dan JMG bekerjasama rapat dalam memantau aktiviti seismik di seluruh negara bagi meningkatkan sistem amaran awal dan tindak balas bencana.
Stesen Seismik Seluruh Negara Akan Diperkukuhkan, Tambah 2 Stesen Baharu Di Johor
Di samping itu, Huang berkata MetMalaysia akan melaksanakan Projek Pemerkasaan Perkhidmatan Gempa Bumi dan Tsunami Fasa 2 di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 yang merangkumi:
- Pengukuhan 12 stesen seismik di seluruh negara.
- Pembinaan dua stesen baharu di Segamat dan Muar.
- Menaik taraf empat stesen di Johor Bahru, Batu Pahat dan Gelang Patah daripada jenis ‘strong-motion’ ke ‘weak-motion’ bagi mengesan gegaran bermagnitud rendah.
Menjawab soalan Ahli Parlimen Rompin Datuk Abdul Khalib Abdullah, Huang menjelaskan kajian oleh Jawatankuasa Tindakan Gempa Bumi mendapati potensi kekuatan maksimum gempa bumi di Segamat dan Batu Pahat ialah sederhana.
“Walaupun gempa bumi di semenanjung selalunya berintensiti rendah ke sederhana, masih terdapat risiko terutamanya di kawasan berhampiran zon sesar seperti Mersing yang dipengaruhi oleh keadaan geologi serantau.
“Reka bentuk struktur tahan gempa di Malaysia adalah berpandu kepada MS EN 1998 (Eurocode 8: Design of structures for earthquake resistance), yang menjadi rujukan kejuruteraan utama bagi mitigasi seismik,” jelasnya.
Gempa Bumi Di Malaysia Pertama Kali Dicatatkan Pada 1922
Berdasarkan perkongsian di Facebook Astronomi & Sains, peristiwa gempa bumi di dalam negara telah mula dicatatkan sejak tahun 1922 lagi dengan pelbagai sumber menganggarkan lebih 60 gempa bumi telah berlaku sejak itu.
Antara gempa terawal direkodkan di Malaysia adalah di Johor pada 31 Januari 1922 dengan anggaran magnitud (MI) 5.4 dan pada 7 Februari 1922 yang bermagnitud (MI) 5.0.
Dari tahun 1985 hingga 1987 pula, sebanyak 27 gempa bumi dengan magnitud (mb) antara 2.5 sehingga 4.6 dikesan di tapak empangan Tasik Kenyir, Terengganu ketika proses pengisian takungan air empangan.
Dalam 30 tahun kebelakangan ini, antara kejadian gempa bumi yang dicatatkan di sekitar Semenanjung Malaysia adalah:
- Gempa bumi bermagnitud (Mw) 1.7 di Tasik Kenyir, Terengganu pada 23 Jun 2016.
- Gempa bumi bermagnitud (Mw) 2.5 di Temenggor, Perak pada 20 Ogos 2013.
- Gempa bumi bermagnitud (ML) 3.2 di Mersing, Johor pada 29 Mac 2012.
- Gempa bumi bermagnitud (Mw) 2.8 di Cameron Highlands, Pahang pada 26 Disember 2012.
- Gempa bumi bermagnitud (Mw) 2.0 di Jerantut, Pahang pada 27 Mac 2009.
- 32 gempa bumi bermagnitud (mb) 0.3-4.2 di kawasan sekitar zon sesar Bukit Tinggi atau sesar Kuala Lumpur bagi tempoh November 2007 hingga Disember 2009.
- Gempa bumi bermagnitud (Mw) 2.4 berhampiran kawasan Sungai Siput, Perak pada 2 November 1997.
Baca Artikel Berkaitan: Terima Amaran Gempa Bumi, Rakyat Malaysia Turut Rasai Gegaran Dari Indonesia
Baca Artikel Berkaitan: Gempa Bumi Sederhana Di Indonesia Dirasai Sekitar Kuala Lumpur & Selangor
Baca Artikel Berkaitan: Mangsa Korban Gempa Bumi Turkiye & Syria Adalah Mati Syahid, Jelas Bekas Mufti N9




