Kerajaan Tegas Dalam Larangan Hidangan Alkohol Di Dalam Majlis Rasmi – Anwar Ibrahim

LocalPolitics
7 Oct 2025 • 5:55 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu

Sebelum ini tular di media sosial video dan beberapa gambar menunjukkan arak dihidangkan kepada tetamu dalam satu majlis yang didakwa dianjurkan oleh kerajaan.

Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing kemudiannya tampil memaklumkan penganjuran majlis makan malam dalam program Global Travel 2025 itu membabitkan pihak swasta dan bukan Tourism Malaysia.

Jelas Tiong, awalnya Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bersama Tourism Malaysia ingin meneraju acara berkenaan, tetapi selepas ada pihak swasta yang ingin mengambil alih penganjuran berkenaan.

Katanya Tourism Malaysia hanya bertanggungjawab menguruskan Program Globat Travel Meet selama dua hari setengah dan bukan acara makan malam. Namun bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin (KJ) menyindir penafian Tiong dan menyifatkan ia adalah satu pembohongan.

Malah Ahli Parlimen Masjid Tanah, Mas Erniyati membalas penafian itu dan mendakwa FB MOTAC sendiri ada menyebut yang makan malam tersebut adalah anjuran kementerian berkenaan di bawah Tourism Malaysia.

Dasar Kerajaan tegas tak benarkan minuman keras dalam majlis rasmi kerajaan

Terbaharu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkats dasar kerajaan adalah jelas dan tegas di mana tidak membenarkan minuman keras atau alkohol dihidangkan sama sekali dalam mana-mana acara rasmi kerajaan.

Ujarnya kesemua pihak dalam institusi kerajaan termasuklah yang berjawatan Menteri hendaklah lebih peka serta sensitif kepada peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan.

“Tindakan Menteri dan Kementerian ini amat dikesali dan mereka telah diberi amaran keras agar tidak mengulangi perkara sama. Seluruh jentera kerajaan juga telah diingatkan supaya tidak cuai dalam hal sebegini serta memastikan kesilapan yang sama tidak,” jelasnya dalam satu hantaran di Facebook.

Peringatan keras diberikan kepada menteri dan kementerian agar tidak ulangi kesilapan

Dalam video yang dimuat naik, beliau turut mengatakan MOTAC sudah menjelaskan hidangan itu tersedia setelah selesai acara rasmi.

“Penjelasan MOTAC ialah bahawa ini setelah selesai acara rasmi, tapi tempat yang sama. Majlis yang sama.

“Kami telah memberikan peringatan keras kepada menteri dan kementerian supaya tidak mengulangi kesilapan ini. Walaupun penjelasan itu adalah bahawa program berakhir. Tetapi tidak wajar sama sekali dan bagi pihak kerajaan, saya akan peringatkan jemaah Menteri dan seluruh jentera kerajaan supaya tidak cuai dalam masalah ini,” katanya lagi.

Ketika disoal adakah Anwar akan meminta Menteri dan kementerian itu mengeluarkan permohonan maaf, katanya perkara itu akan dirujuk dengan Tiong.

Nga Kor Ming minta henti besarkan isu hidang arak dalam acara rasmi

Terdahulu Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Nga Kor Ming turut meminta semua pihak untuk tidak membesarkan isu hidangan arak dalam acara rasmi yang dikaitkan dengan MOTAC itu.

Menurutnya Majlis Makan Malam Global anjuran Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) tersebut dianjurkan oleh sektor swasta dengan kerjasama kerajaan dalam meraikan tetamu antarabangsa serta pemain industri pelancongan global.

Ujarnya lagi, acara tersebut merupakan program komersial yang bertaraf antarabangsa di mana kebiasaannya dilakukan untuk meraikan rakan industri dari seluruh dunia.

Perbesarkan isu akan rugikan negara – Nga Kor Ming

Jelasnya, semua pihak diminta tidak membesarkan isu berkenaan ini ia disebabkan tahun hadapan adalah Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM 2026).

“Semua pihak perlu memahami kita sedang bersiap menerima pelancong dari pelbagai negara dan sekiranya diperbesarkan akan merugikan negara,” ujarnya, lapor Harian Metro.

Kata Nga Kor Ming lagi, majlis berkenaan tidak dianjurkan oleh kerajaan semata-mata, tetapi oleh rakan kongsi sektor swasta yang memberikan tajaan serta meraikan kejayaan penganjuran acara pelancongan global pertama seumpama di negara ini.

Masih hormati sensitiviti agama dan tak paksa umat Islam ambil alkohol

Tambahnya lagi, penganjuran yang dilakukan itu masih menghormati sensitiviti beragama serta tidak memaksa mana-mana individu beragama Islam untuk mengambil alkohol.

Ujar menteri itu, program yang dilakukan menghormati rakan beragama Islam namun dalam masa sama masyarakat bukan Islam turut perlu diberikan kebebasan serta ruang.

“Minuman keras itu disediakan khusus untuk pelancong asing,” jelasnya.

Tambahnya, Tahun Melawat Malaysia 2026 menuntut semangat keterbukaan serta keharmonian di antara rakyat pelbagai kaum serta agama.

“Slogan ‘Malaysia Truly Asia’ bukan sekadar kata-kata, ia mencerminkan nilai perpaduan dalam kepelbagaian budaya dan kepercayaan.

“Tindakan seperti ini akan hanya menjejaskan imej dan merugikan negara, terutama menjelang VMY2026.”

MOTAC terima teguran PMX

Dalam satu kemaskini terbaharu, MOTAC berkata pihaknya menerima teguran Anwar Ibrahim dan sangat mengesali sebarang kekeliruan atau salah faham yang telah menimbulkan ketidak selesaan dalam kalangan rakyat.

“Kementerian mengambil iktibar daripada perkara ini dan akan memastikan perkara seumpama tidaka akn berulang,” katanya.

Source: