6 Sekeluarga Hilang, Polis Mohon Bantuan Orang Ramai

1 Apr 2026 • 6:48 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

KUALA LUMPUR - Polis meminta bantuan orang ramai mengesan enam sekeluarga dilaporkan hilang, selepas dipercayai meninggalkan rumah mereka di Taman Orkid, Bentong, Pahang, sejak Isnin.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, polis menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 7.34 malam, 30 Mac.

Menurutnya, pengadu berusia 43 tahun yang juga suami dan bapa kepada lima anak memaklumkan bahawa isterinya, M Rekha, 41, dan lima anak mereka hilang dari rumah.

"Pengadu mendapati bahawa pada 30 Mac kira-kira jam 6.30 pagi, semua ahli keluarganya tiada di rumah.

"Alamat dan lokasi terakhir yang diketahui ialah di No. 120, Lorong 6, Taman Orkid, Bentong," katanya, seperti dilaporkan Harian Metro.

Zaiham berkata lima anak pasangan itu ialah S Ruban, 19; S Sharivina Nair, 17; S Shasini Nair, 16; S Pritivi Nair, 14; dan S Lashwin Nair, 4.

Beliau berkata polis sedang menjalankan siasatan dan berusaha mengesan semua individu terbabit. 

Beliau turut memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan enam ahli keluarga tersebut untuk tampil membantu siasatan.

"Orang ramai diminta datang ke mana-mana balai polis berdekatan atau menghubungi Pusat Kawalan Daerah (DCC) Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong di talian 09-2231999.

"Mereka juga boleh menghubungi mana-mana balai polis berdekatan," katanya. – Getaran, 1 April 2026