Polis kesan enam sekeluarga dilapor hilang

1 Apr 2026 • 5:54 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Zaiham
image is not available
Enam sekeluarga dilaporkan hilang. Rekha (tiga dari kiri) bersama lima anaknya dilaporkan hilang pada Isnin. Foto Polis Bentong

BENTONG - Polis sedang mengesan enam sekeluarga yang dilaporkan hilang selepas dipercayai keluar dari rumah mereka di Taman Orkid, di sini sejak Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, laporan kehilangan itu dibuat oleh lelaki berusia 43 tahun yang merupakan suami dan bapa kesemua individu terbabit jam 7.34 malam pada Isnin lepas.

"Berdasarkan laporan, lelaki berkenaan memaklumkan isterinya, M Rekha, 41, bersama lima anak mereka tidak berada di rumah pada jam 6.30 pagi.

“Alamat terakhir dan lokasi terakhir yang diketahui di Taman Orkid, Bentong,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

**media[3478625]**

Zaiham berkata, lima anak pasangan itu ialah S Ruban, 19; S Sharivina Nair, 17 dan S Shasini Nair 16; S Pritivi Nair, 14; serta S Lashwin Nair, 4.

Beliau menjelaskan, siasatan sedang dijalankan dan usaha mengesan semua individu terbabit giat dilakukan.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berdekatan atau Pusat Kawalan Daerah (DCC) Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong di talian 09-2231999.