
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Kemalangan tragis melibatkan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X50 dengan lori membawa muatan tanah mengorbankan enam sekeluarga di Kampung Baru Pinang Tunggal, Kuala Muda, Kedah pada minggu lalu nyata mendapat perhatian ramai.
Apatah lagi, kenderaan tersebut baru sahaja beberapa jam diambil dari pusat jualan oleh salah seorang mangsa, Ahmad Fahim Ahmad Shukri yang juga merupakan pemandu serta pemilik kenderaan terbabit.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah kemudiannya memaklumkan bahawa Proton X50 akan dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) bagi pemeriksaan lanjut.
Baca Artikel Berkaitan: 6 Sekeluarga Maut: Polis Sahkan Pemandu Proton X50 Adalah Ahmad Fahim
PUSPAKOM Tegas Hanya Buat Pemeriksaan, Bukan Tentukan Punca Kemalangan
Terbaharu, PUSPAKOM menjelaskan pemeriksaan terhadap Proton X50 yang dinaiki enam sekeluarga itu tertumpu kepada beberapa komponen utama termasuk sistem brek.
Memetik Berita Harian, laporan menyeluruh pemeriksaan teknikal yang dijalankan bermula pada 9 Jun itu dijangka akan diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) selewat-lewatnya hari ini (11 Jun).
Tegas agensi berkenaan, pihaknya hanya dipertanggungjawabkan untuk melakukan pemeriksaan dan bukan menentukan punca nahas.
“Buat masa ini kami membantu PDRM menjalankan siasatan kemalangan.
“Fokus PUSPAKOM adalah keadaan beberapa komponen utama seperti sistem brek.
“Perlu ditegaskan PUSPAKOM hanya memeriksa kenderaan terbabit, dan tidak akan menentukan punca kemalangan.
“Setelah selesai, laporan akan diserahkan kepada PDRM untuk melengkapkan siasatan mereka dan tindakan selanjutnya.
“Sasaran kami adalah untuk menyerahkan laporan kepada PDRM sebelum Khamis (ini),” jelasnya.
Polis Mohon Ruang Orang Ramai Henti Spekulasi Bagi Membantu Siasatan
Terdahulu, Adzli memohon orang ramai untuk menghentikan spekulasi berhubung kemalangan terbabit dan memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengetahui punca sebenar kemalangan maut yang mengorbankan enam sekeluarga di Kuala Muda, Kedah itu.
Malah, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah sebelum ini turut menjelaskan pihaknya enggan membuat sebarang spekulasi mengenai punca insiden terbabit sehingga siasatan selesai dijalankan.
Memetik Berita Harian, kemalangan tular itu mengundang banyak spekulasi yang tidak bertanggungjawab antaranya seperti dakwaan pemandu lori berada dalam keadaan mabuk serta Proton X50 yang baru dibeli mangsa mengalami masalah.
Adzli turut menjelaskan pemandu lori berkenaan mempunyai lesen memandu yang sah serta memandu pada kelajuan 60 kilometer sejam (km/j) ketika kejadian meskipun mempunyai tujuh saman.
Baca Artikel Berkaitan: Kemalangan 6 Sekeluarga Maut: Mahkamah Tolak Permohonan Reman Terhadap Pemandu Lori
Baca Artikel Berkaitan: Kereta Baru Keluar Kedai, 6 Sekeluarga Maut Selepas Proton X50 Bertembung Lori




