
KUALA LUMPUR – Tragedi kemalangan yang mengorbankan enam nyawa sekeluarga di Pinang Tunggal, Sungai Petani baru-baru ini terus mengundang rasa hiba dalam kalangan masyarakat.
Di sebalik berita menyayat hati itu, pelbagai perkongsian mengenai keperibadian salah seorang mangsa, Allahyarham Fahim, mula tular di media sosial sehingga menyentuh hati ramai.
Menerusi beberapa hantaran di Threads, rakan dan pelanggan yang pernah mengenali Allahyarham tampil berkongsi kisah-kisah yang menggambarkan sikapnya yang baik, matang dan sentiasa berusaha menyebarkan perkara positif kepada orang sekeliling.
Pelanggan Kongsi Pengalaman Berurusan Dengan Allahyarham
Seorang pengguna Threads, Hafizah Hashim, mendedahkan dia pernah berurusan dengan Allahyarham ketika membeli telefon bimbit.
Menurutnya, walaupun pada awalnya dia tidak bercadang untuk membeli telefon daripada Fahim, layanan baik dan cara komunikasi yang mesra membuatkan dia akhirnya membeli dua unit telefon.
“Fahim tu approach dengan sangat baik. Dia punya happy masa tu,” tulisnya.
Lebih daripada sekadar jurujual, Hafizah berkata Allahyarham sering berkongsi cerita mengenai kehidupan, keluarga dan impiannya untuk masa depan.
Menurutnya, walaupun masih muda, Fahim memiliki pemikiran yang matang serta cita-cita yang tinggi.
“Walaupun dia umur 20 tahun tapi pemikiran dia sangat matang. Cita-cita dia sangat tinggi. Masa tu dia excited nak grad. Lepas ni dia nak sambung study dekat Mesir.”
Impian Jadi Pakar Motivasi Dan Sebar Kebaikan
Hafizah turut mendedahkan bahawa Allahyarham pernah meluahkan hasrat untuk menjadi seorang pakar motivasi pada masa hadapan.
Katanya, Fahim berharap suatu hari nanti dia dikenali ramai bukan kerana populariti semata-mata, tetapi kerana dapat menyebarkan manfaat kepada masyarakat.
“Fahim pernah cakap masa kita sembang tu. Fahim teringin nak famous sebab nak sebar kebaikan. Kesian tengok anak muda sekarang.”
Perkongsian itu mengundang sebak ramai netizen yang merasakan impian Allahyarham untuk dikenali ramai akhirnya menjadi kenyataan, namun dalam keadaan yang tidak disangka-sangka.
“Nak Kerja Rajin-Rajin, Nak Mak Saya Happy”
Dalam perkongsian sama, Hafizah berkata Allahyarham sering bercerita mengenai impiannya untuk bekerja keras demi membahagiakan ibunya.
Menurutnya, Fahim begitu teruja apabila berjaya memiliki kereta hasil usahanya sendiri pada usia muda.
“Dia memang cakap sekarang ni saya nak kerja rajin-rajin nak beli kereta. Nak mak saya happy.”
Tambahnya, sehingga kini dia masih terbayang wajah Allahyarham yang begitu gembira ketika menceritakan mengenai kereta yang bakal dimiliki.
“Itulah saya terus terbayang muka dia excited cerita nak kerja rajin-rajin nak beli kereta. Dapat bayang macam mana happy-nya dia.”
Nasihat Ringkas Yang Tinggalkan Kesan
Malah, Hafizah turut berkongsi tangkap layar perbualan bersama Allahyarham yang menyentuh soal amalan dan kehidupan.
Apabila ditanya mengenai amalan yang diamalkannya, Fahim menjawab bahawa perkara paling utama adalah sentiasa memperbetulkan niat dalam setiap urusan.
“Amalan yang paling utama adalah sentiasa membetulkan niat. Apa pun yang kita buat, kerja, berniaga, bercakap dengan orang kalau niatnya kerana Allah, insya-Allah Dia mudahkan kefahaman dan perjalanan kita.
“Selebihnya, saya serahkan kepada Allah dan terus belajar dengan rendah hati,” tulis Allahyarham.
Rakan Sifatkan Arwah Seorang Pendengar Yang Baik
Dalam masa sama, seorang lagi individu yang memperkenalkan dirinya sebagai pemilik video tular mengenai Allahyarham turut berkongsi pandangannya.
Menurut wanita tersebut, Allahyarham merupakan seorang insan yang ikhlas dan sentiasa sedia mendengar masalah orang lain tanpa menghakimi.
“Arwah memang lillahi taala, memang betul-betul baik. Arwah suka dengar masalah orang tanpa judge, memang tiada terganti,” tulisnya.
Perkongsian daripada rakan dan pelanggan ini memberi gambaran bahawa Allahyarham bukan sahaja disenangi ketika bekerja, malah meninggalkan kesan mendalam kepada ramai individu yang pernah mengenalinya.
Di sebalik tragedi yang meragut nyawanya, kisah-kisah kebaikan yang dikongsi orang ramai menjadi bukti bahawa Allahyarham telah meninggalkan legasi yang cukup bermakna dalam kehidupan mereka yang pernah bertemu dan berurusan dengannya. – The Malaysian Update
Sokong TMU
Jika anda menghargai usaha TMU dalam menyampaikan berita, maklumat dan isu semasa yang bermanfaat, anda boleh memberi sokongan secara sukarela.
Sokongan anda membantu kami terus menghasilkan laporan, artikel dan kandungan berkualiti untuk rakyat Malaysia.
The post “Nak Famous Sebab Nak Sebar Kebaikan” – Rakan Dan Pelanggan Kongsi Sisi Peribadi Fahim Yang Terkorban Dalam Nahas X50 appeared first on The Malaysian Update.





