
DEBARAN pastinya kian terasa buat Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, apabila hari esok, 30 Jun 2026, bakal menjadi penentu mutlak sama ada beliau akan terus kekal bernafas lega sebagai orang bebas ataupun terpaksa akur dihantar ke penjara.
Mahkamah Persekutuan dijadualkan membuat keputusan penentuan yang amat kritikal ini, selepas melalui rentetan panjang kes mahkamah yang penuh dengan plot naik turun sejak beberapa tahun lalu. Bagi pengikut setia perkembangan personaliti dinamik ini, detik esok amat mendebarkan memandangkan ia melibatkan masa depan seorang figura muda yang sering menjadi perhatian masyarakat.
Menerusi satu perkongsian yang cukup menyentuh hati, Syed Saddiq meluahkan segala isi hatinya selepas mengharungi fasa sukar turun naik mahkamah demi mempertahankan prinsip diri.

Enam tahun melawan
Beliau menegaskan bahawa sepanjang tempoh yang panjang dan penuh ujian itu, dirinya tidak pernah cuba melarikan diri atau menagih sebarang keistimewaan daripada sistem perundangan.
"Enam tahun saya melawan demi keadilan. Sepanjang enam tahun ini, saya tidak pernah minta kes ini ditangguh.
"Saya tidak pernah minta jalan pintas. Saya tidak pernah minta layanan istimewa," luah beliau dengan penuh rasa tenang namun tegas.
Jelas sekali, luahan tersebut menggambarkan ketabahan seorang anak muda yang enggan tunduk pada tekanan demi membuktikan dirinya berada di pihak yang benar.
Ketegasan beliau untuk berhadapan dengan badai dugaan ini secara telus turut dizahirkan menerusi keyakinan yang tinggi terhadap integriti diri sendiri.
Beliau tidak mahu bersikap lemah, sebaliknya memilih untuk berdiri teguh membuktikan kebenaran tanpa perlu bersembunyi di sebalik apa-apa alasan.
"I faced it head on. I dared to fight, because my conscience is clear.
"Saya sudah pertahankan kebenaran dengan segala kudrat," kongsi Syed Saddiq lagi, menggambarkan prinsip berani kerana benar yang dipegangnya erat selama ini.
Berbekalkan prinsip itu, tunang Bella Astilah itu kelihatan cukup bersedia dari segi mental untuk menghadapi apa sahaja keputusan yang bakal diumumkan esok pagi.
Sinar keadilan
Mengimbas semula kronologi kes yang melibatkan dana Armada ini, Mahkamah Tinggi pada 9 November 2023 sebelum ini pernah memutuskan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan, dan denda RM10 juta selepas beliau didapati bersalah atas empat pertuduhan bersubahat pecah amanah, salah guna harta, dan pengubahan wang haram.
Bagaimanapun, sinar keadilan seakan menyebelahinya apabila panel tiga hakim Mahkamah Rayuan membebaskannya secara sebulat suara daripada semua pertuduhan pada 25 Jun 2025 yang lalu.

Namun, perjuangan itu belum selesai sepenuhnya apabila pihak pendakwaan bertindak membawa kes ini ke peringkat rayuan terakhir di Mahkamah Persekutuan yang menjadi penentu hidup dan matinya esok.
Di sebalik segala debaran, teka-teki, dan spekulasi yang melanda fikiran penyokong mahupun netizen di media sosial, Syed Saddiq memilih untuk meletakkan seluruh pengharapan kepada takdir.
Selepas segala usaha dan strategi perundangan habis-habisan dikerahkan, beliau kini berlapang dada dengan apa sahaja kemungkinan yang mendatang di dewan mahkamah nanti.
"Kini, saya serahkan seluruhnya kepada ALLAH SWT kerana selepas manusia berusaha, ALLAH-lah sebaik-baik Penentu," katanya dengan penuh berserah.
Sama ada esok membawa khabar gembira buat beliau untuk terus melangkah bebas atau sebaliknya, seluruh perhatian rakyat Malaysia pastinya tertumpu ke Mahkamah Persekutuan esok.





