“60% datang untuk berpoligami” – Hampir 300 Pasangan Malaysia Nikah Di Siam Sepanjang 2024

Entertainment
15 Jan 2025 • 3:42 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Majlis Agama Islam Narathiwat, Thailand mengesahkan hampir 300 pasangan dari Malaysia bernikah di negara itu.

Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Narathiwat, Abdul Aziz Che Mamat berkata, jumlah keseluruhan yang didaftarkan berkahwin di Narathiwat pada tahun lalu adalah seramai lebih 600 pasangan merangkumi pasangan dari wilayah tersebut.

Beliau juga memberitahu, jumlah itu menunjukkan bahawa hampir separuh pasangan dari Malaysia berkahwin di Majlis Agama Islam Narathiwat sepanjang 2024.

image is not available
Gambar Hiasan

“Kebiasaannya, pasangan dari Malaysia berkahwin di sini berusia dalam lingkungan 40-an hingga 60-an. Selain itu, 60 peratus daripada hampir 300 pasangan itu datang untuk berpoligami.

Baki 40 peratus pasangan itu pula terdiri daripada individu yang masih bujang, janda dan duda.

Daripada jumlah keseluruhan pada tahun lalu, pasangan dari Kelantan dan Terengganu paling ramai berkahwin di Narathiwat. Saya merasakan bahawa lokasi kedua-dua negeri itu yang hampir dengan Selatan Thailand menyebabkan mereka memilih untuk berkahwin di sini ,” katanya.

Beliau berkata prosedur perkahwinan bagi pasangan dari Malaysia sekiranya pengantin perempuan itu merupakan janda yang bercerai, pihak majlis agama mewajibkan mereka membawa surat cerai sah dari jabatan agama negeri sebelum melangsungkan perkahwinan.

Akad nikah dan perkahwinan tidak akan dilangsungkan sekiranya tiada surat atau dokumen sah yang mengatakan pasangan wanita itu bercerai.

Dalam pada itu, beliau turut berkata, Majlis Agama Islam Narathiwat juga tidak akan menikahkan pasangan terutamanya pengantin perempuan bawah umur iaitu kurang daripada 17 tahun.

Sumber: Kosmo!

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.