SHAH ALAM, 5 OKT: Seramai 1,091 warga asing diperiksa dalam operasi bersepadu Majlis Keselamatan Negara (MKN) Selangor di Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini, hari ini.
Diketuai Dato’ Menteri Besar selaku Pengerusi MKN Selangor, operasi bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) negeri dan pelbagai agensi menahan 602 warga asing atas pelbagai kesalahan.
Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, perancangan rapi telah dibuat sejak Mac lalu bagi mengawal lambakan warga asing yang dikhuatiri melanggar akta imigresen dan kesalahan lain.

“Seramai 1,091 warga asing diperiksa dan daripada jumlah itu, 602 ditahan atas pelbagai kesalahan. Mereka ini daripada sembilan negara yang dikenalpasti dengan warga Bangladesh paling ramai.
“Kebanyakan warga asing yang ditahan berumur antara 19 hingga 53 tahun dan mereka akan dihantar ke depoh tahanan sementara JIM di Semenyih,” katanya pada sidang media.
Terdahulu, Amirudin meninjau sesi operasi akhir yang menghimpunkan 602 warga asing berhampiran perkarangan Pasar Moden Sri Muda, sebelum dihantar ke depoh tahanan.
Operasi yang bermula jam 12.30 tengah hari itu turut dihadiri Pengarah JIM Selangor Khairrul Aminus Kamaruddin serta 445 pegawai dari pelbagai jabatan dan agensi.

Dalam pada itu, Amirudin berhasrat melaksanakan operasi sama di lokaliti lain bagi mengurangkan kebanjiran warga asing sekali gus berupaya meningkatkan keselamatan penduduk.
“Ada kawasan lain lepas ini. Selepas ini, kita akan ikuti dengan langkah seterusnya. Ini untuk tangani persepsi dan sebahagiannya realiti di akar umbi,” katanya.

Ogos lalu, media melaporkan seorang pekerja wanita di sebuah rangkaian kedai aiskrim ditikam lelaki warga Pakistan dalam kejadian samun di Taman Sri Muda.
Kejadian itu mendapat perhatian awam yang menggesa JIM menggempur Taman Sri Muda berikutan dipercayai menjadi ‘sarang’ warga asing sehingga mendatangkan ketakutan kepada penduduk.

The post 602 warga asing ditahan dalam operasi bersepadu di Taman Sri Muda appeared first on Selangorkini.


