IPOH – Seramai 61 pelajar sebuah sekolah menengah berasrama di sini disahkan mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan susulan penularan kluster Influenza A sejak Isnin lalu.
Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, Datuk A Sivanesan berkata, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak melalui Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kinta telah mengambil tindakan segera sebaik kluster dikesan.
Menurutnya, langkah kawalan termasuk saringan kesihatan, siasatan epidemiologi serta pengambilan sampel makmal dilaksanakan bagi membendung penularan dalam kalangan warga sekolah.
"Sehingga Selasa, semua pelajar yang telah dinilai dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan pemantauan berterusan sedang dijalankan," katanya dalam satu kenyataan di sini oada Rabu.
Beliau berkata, pada 14 September lalu kira-kira jam 12.08 tengah hari, seramai 57 pelajar bergejala dibawa serentak ke sebuah klinik kesihatan berhampiran dengan menaiki bas tanpa pemakluman awal.
Situasi itu katanya, menjejaskan kelancaran pengurusan pesakit di klinik berkenaan, selain terdapat pelajar yang tidak membawa dokumen pengenalan diri.
Susulan itu, pada jam 2 petang hari sama, pasukan bersepadu PKD Kinta bersama klinik kesihatan telah digerakkan ke sekolah untuk menjalankan saringan dan pemeriksaan secara berpusat.
"Pasukan ini melibatkan pegawai perubatan, penolong pegawai perubatan, pembantu perawatan kesihatan, pegawai farmasi serta anggota kawalan jangkitan dan unit surveilan," katanya.
Sivanesan berkata, pada keesokan harinya, pihak sekolah melaporkan tambahan pelajar bergejala sebelum penyelarasan semula dibuat bagi memastikan proses saringan berjalan lancar dan terkawal.
"Berdasarkan laporan dibuat, daripada keseluruhan 61 pelajar menjalani saringan di dapati, 46 kes dikesan sebagai Influenza-Like Illness (ILI), 14 kes jangkitan saluran pernafasan atas (URTI) dan seorang mengalami konjunktivitis.
"Dalam kes ini, sampel swab turut diambil daripada beberapa pelajar untuk ujian makmal bagi pengesahan lanjut," katanya.
Tambah beliau, antara langkah kawalan yang telah dilaksanakan termasuk pengasingan pelajar bergejala, pemantauan kes baharu, pendidikan kesihatan serta nasihat kepada pihak sekolah agar tidak membawa pelajar dalam jumlah ramai ke fasiliti kesihatan tanpa penyelarasan.
"Pelajar yang sesuai juga dibenarkan pulang untuk menjalani isolasi kendiri bagi mengurangkan risiko penularan dalam persekitaran sekolah dan asrama," katanya.





