
LAHAD DATU: Seramai 64 pendatang asing tanpa izin (PTI) warga Indonesia dan Filipina ditahan dalam operasi bersepadu selama dua hari yang diselaraskan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) di daerah ini.
Komander Esscom, DCP Datuk Victor Sanjos berkata operasi yang berakhir pada Khamis itu turut mengesan pelbagai kesalahan berkaitan imigresen, pekerjaan, pelesenan perniagaan, trafik, utiliti dan kastam.
Beliau berkata operasi berkenaan menghasilkan nilai kompaun dan sitaan kira-kira RM623,450, dengan 71 notis dan kompaun dikeluarkan selain dua kes pendakwaan dimulakan oleh pelbagai jabatan dan agensi penguat kuasa.
“Operasi ini merupakan usaha berterusan Esscom bagi memastikan pematuhan undang-undang di Zon Selamat Timur Sabah (ESS Zone), membanteras PATI serta aktiviti ekonomi menyalahi undang-undang, selain memperkukuh keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Menurutnya, seramai 262 anggota daripada Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia serta pelbagai jabatan dan agensi Persekutuan dan negeri terbabit dalam operasi itu.
Semasa operasi tersebut, pemeriksaan mengejut dilakukan di premis perniagaan, penempatan setinggan, kawasan pinggir bandar dan kampung sekitar Lahad Datu.
Daripada 247 individu yang diperiksa Jabatan Imigresen, seramai 64 PTI ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah dan diserahkan kepada Jabatan Imigresen Lahad Datu untuk tindakan lanjut.
Victor berkata Jabatan Tenaga Kerja mengeluarkan 11 kompaun dan membuka dua kes pendakwaan di bawah Akta Kerja 1955 dengan nilai penguatkuasaan RM133,000.
Jabatan Pengangkutan Jalan pula mengeluarkan 10 saman, sembilan notis penguatkuasaan dan tiga kompaun, manakala Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik mengeluarkan 32 saman di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Majlis Daerah Lahad Datu mengeluarkan kompaun RM500 berkaitan kebersihan serta menyita barangan tanpa lesen bernilai RM1,150.
Jabatan Kastam Diraja Malaysia turut menyita rokok seludup dan minuman tanpa lesen bernilai kira-kira RM30,000, manakala Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup mengeluarkan kompaun RM300.
Sabah Electricity menyita kabel sambungan haram seberat 150 kilogram dan 23 pam air dengan nilai RM14,800 serta menganggarkan kerugian hasil tahunan akibat sambungan elektrik haram mencecah RM429,600.
“Keberkesanan operasi ini membuktikan pendekatan penguatkuasaan bersepadu mampu mengesan pelbagai bentuk ketidakpatuhan yang boleh menjejaskan keselamatan awam, kestabilan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata Esscom akan terus mempergiat operasi bagi membanteras jenayah rentas sempadan serta memastikan keselamatan dan ketenteraman awam di pantai timur Sabah terus terpelihara.
Orang ramai digesa menyalurkan maklumat berkaitan hal-hal keselamatan di kawasan Esszone kepada Pusat Operasi Esscom pada 089-863181 atau WhatsApp 011-63311072.





