
KUALA NERUS: Sebanyak 64 sekolah di Terengganu dikenal pasti berisiko dilanda banjir susulan Monsun Timur Laut (MTL) yang telah bermula hujung bulan lepas.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu Kamsah @ Kamal Mohamed berkata sehubungan itu pihaknya telah mengadakan mesyuarat dan simulasi bagi menyelaraskan bentuk tindakan sebagai persediaan menghadapi bencana tersebut.
Beliau berkata pihaknya juga telah meminta semua agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) menggerakkan tenaga serta logistik dalam kadar segera sekiranya berlaku banjir atau kes kecemasan.
“Banjir ini adakalanya kita tak boleh nak jangka. Ada tempat yang kita jangka banjir tetapi tidak berlaku dan sebaliknya. Tetapi data ini telah kita bincangkan di peringkat mesyuarat dan kita telah panggil semua jabatan atau agensi untuk bantu gerakkan logistik,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Menjulang Bakti Menyulam Legasi, di sini hari ini.
Selain itu, Kamsah berkata 164 sekolah dikenal pasti dan direkodkan sebagai lokasi pusat pemindahan sementara (PPS) sepanjang MTL kali ini.
Beliau berkata daripada jumlah itu, 11 sekolah mencatat kekerapan pengaktifan tertinggi sebagai PPS sepanjang tempoh 2018 hingga 2025, manakala 149 institusi pendidikan termasuk sekolah kebangsaan (SK), sekolah menengah kebangsaan (SMK), sekolah kebangsaan Cina, sekolah menengah kebangsaan agama dan kolej vokasional dikenal pasti berada di zon kerap banjir.
“Kita juga bertuah kerana Terengganu kini mempunyai sebuah pusat pemindahan kekal (PPK) di SMK Matang, Hulu Terengganu yang siap pada Januari lepas dan boleh digunakan tahun ini.
“Kemudahan itu dibangunkan dengan peruntukan RM1 juta daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan boleh menampung lebih 500 mangsa pada satu-satu masa. Pada masa sama, sebuah lagi PPK sedang dibangunkan di SK Banggol Peradong dan dijangka siap Mac tahun depan,” katanya.






