
KUALA SELANGOR – Dua projek pembangunan seluas keseluruhan 20 ekar di sekitar Saujana Aman, Puncak Alam akan diperiksa susulan kejadian banjir yang menjejaskan kediaman penduduk di kawasan itu.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kedua-dua projek berkeluasan 2. 02 hektar dan 6.07 itu dikenal pasti mempunyai kesan terhadap peningkatan limpahan air di kawasan berkenaan.
Menurut beliau, pemeriksaan segera perlu dilakukan bagi mengenal pasti sejauh mana pembangunan tersebut mempengaruhi aliran air sehingga menyebabkan limpahan ke kawasan perumahan.
“Daripada laporan, memang ada kesan sedikit limpahan dan juga tempat lain. Itu saya minta untuk segera kita ambil tindakan,” katanya selepas meninjau kolam tadahan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Puncak Alam di sini, hari ini.
Bagaimanapun, beliau berkata, limpahan air tetap berlaku walaupun tanpa kedua-dua projek berkenaan, namun kewujudannya menyebabkan keadaan menjadi lebih buruk.
Katanya, kejadian banjir pada 5 November lalu berpunca daripada hujan lebat luar biasa di kawasan puncak UiTM yang merekodkan taburan hujan antara 102 hingga 103 milimeter.
Aliran air dari kawasan tinggi itu kemudian menyebabkan limpahan ke beberapa kawasan termasuk Hillpark, Seri Alam dan Saujana Perdana sehingga menjejaskan lebih 1,000 rumah.
Amirudin turut menegaskan kerajaan negeri akan mengarahkan semakan semula terhadap projek-projek pembangunan yang telah diluluskan bagi memastikan penyediaan sistem mitigasi banjir di kawasan berisiko dilaksanakan.
“Saya akan minta semak balik segala kelulusan yang telah kita benarkan termasuk mensyaratkan mereka (pemaju) membuat tadahan air sementara, kita pun tak nak buat dia buat cincai,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, beberapa isu lain turut dikenal pasti menyumbang kepada kejadian banjir di kawasan seperti Johan Setia, Parit Mahang, Bukit Kuching dan Bukit Hijau.
Antaranya termasuk aktiviti vandalisme terhadap ban Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Buloh 1 yang menyebabkan struktur berkenaan direndahkan daripada spesifikasi asal, selain limpahan air dari Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE).
“Isu vandalisme itu saya dah minta ditangani dengan segera. Kita akan ambil tindakan terhadap operasi haram yang ada di sana, dan ada beberapa proses perobohan yang terpaksa dilakukan.
“Perobohan itu untuk menjadikan kawasan berkenaan sebagai kawasan tadahan air atau dataran banjir di dua lokasi yang telah dikenal pasti,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Banjir kilat: Dua projek pembangunan di Puncak Alam disiasat appeared first on Kosmo Online.






