
JOHOR BAHRU: Seramai 640 pegawai dan anggota Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) akan ditempatkan di Kompleks Bersepadu Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Bukit Chagar sebagai persediaan operasi penuh Rapid Transit System Link (RTS Link), tahun depan.
Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, kesemua perjawatan tersebut telah diisi dan mereka bakal mula ditempatkan di premis berkenaan bermula Oktober ini.
“Secara keseluruhannya seramai 640 perjawatan telah diluluskan melibatkan pegawai dan anggota yang akan ditempatkan di ICQ Bukit Chagar ini. Jumlah itu akan diisi secara berperingkat.
“Ketika ini seramai 400 pelatih sedang menjalani latihan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Segamat. Mereka akan menamatkan latihan pada September ini,” katanya ketika mengiringi lawatan kerja rasmi Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook di premis berkenaan, di sini hari ini.
Terdahulu, Siew Fook turut menyempurnakan majlis pra-perasmian Pejabat AKPS di ICQ Bukit Chagar yang menggabungkan enam agensi penguatkuasaan dibawah jabatan berkenaan.
Tambah Mohd. Shuhaily, pihaknya akan menggunakan tempoh tiga bulan terakhir sebelum RTS Link beroperasi secara penuh untuk membolehkan pegawai dan anggotanya menyesuaikan diri dengan dengan premis itu.
Pada masa sama, beliau berkata pihaknya komited memastikan kawalan pemeriksaan melibatkan seramai 10,000 pengguna setiap jam berjalan lancar, walaupun berdepan kemungkinan gangguan sistem teknikal.
“Sekiranya berlaku gangguan terhadap sistem, kita akan laksanakan operasi secara manual. Itu antara sebabnya mengapa kita perlukan perjawatan yang ramai. Kita akan bersedia berdepan apa-apa situasi,” katanya.-UTUSAN
The post 640 pegawai, anggota AKPS ditempatkan di ICQ Bukit Chagar appeared first on Utusan Malaysia.






