400 pegawai, anggota AKPS ditempatkan di ICQ Bukit Cagar bermula Oktober

18 Aug 2026 • 2:24 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 400 pegawai, anggota AKPS ditempatkan di ICQ Bukit Cagar bermula Oktober
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dan Mohd Shuhaily(kanan) merasmikan bilik Agensi Kawalan dan Pelindungan Sempadan Malaysia ketika tinjauan perkembangan Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura di Kompleks Bersepadu Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ), Bukit Cagar pada Selasa. Foto Bernama

JOHOR BAHRU - Seramai 400 daripada 640 pegawai dan anggota Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) ditempatkan di Kompleks Bersepadu Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bukit Cagar Oktober ini sebagai persediaan pengoperasian RTS Link Johor Bahru - Singapura.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, mereka ketika ini sedang dalam latihan di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Segamat dan dijangka tamat hujung bulan depan.

Menurutnya, pegawai dan anggota yang ditempatkan itu nanti akan menjalani proses suai kenal serta simulasi di ICQ Bukit Cagar sepanjang Oktober hingga Disember.

“Dalam tempoh lebih kurang tiga bulan tersebut, mereka akan melihat aliran penumpang, melakukan simulasi dan membiasakan anggota dengan sistem serta selok belok bangunan ini.

“Kekerapan dan konsistensi perkhidmatan kereta api termasuk kestabilan mesin seperti mesin pengimbas dan sistem berkaitan juga akan diuji serta dipantau keberhasilannya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan Lawatan Tinjauan Progres RTS Link Johor Bahru-Singapura di ICQ Bukit Cagar, di sini pada Selasa.

Mohd Shuhaily berkata, latihan anggota AKPS perlu lebih menyeluruh memandangkan ia menggabungkan fungsi enam agensi penguat kuasaan di bawah satu entiti.

“Sebelum ini ada enam agensi menjalankan enam perkara yang berbeza, tetapi sekarang semuanya berada di bawah satu agensi yang mana latihan lebih ekstensif perlu dibuat.

Menurutnya, kemudahan ICQ Bukit Cagar merupakan fasiliti baharu yang memerlukan penelitian dan kawalan baik.

Dalam pada itu, Mohd Shuhaily berkata, AKPS turut mempunyai pelan sandaran sekiranya berlaku gangguan terhadap sistem digital yang digunakan di fasiliti berkenaan.

Katanya, sistem manual akan digunakan sekiranya berlaku kegagalan sistem bagi memastikan operasi kawalan sempadan dapat diteruskan.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved