
PUTRAJAYA – Seramai 652 penjawat awam menerima ganjaran sejumlah RM1.18 juta daripada kerajaan susulan tindakan mereka melaporkan pemberian atau penerimaan rasuah sepanjang tempoh 2012 hingga 2025.
Dalam konteks ini, ganjaran itu adalah sebagai pengiktirafan terhadap keberanian kumpulan penjawat itu dalam membantu kerajaan membanteras kegiatan rasuah.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abd. Halim Aman berkata, empat agensi utama termasuk polis mencatat bilangan penerima pengiktirafan tertinggi sepanjang tempoh itu.
Bagi polis, seramai 437 individu menerima pengiktirafan, manakala Jabatan Imigresen (64), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (33) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (21).
“Antara kes berprofil tinggi ialah penolakan tawaran rasuah bernilai RM200,000 oleh seorang pegawai polis di Perlis susulan kes rampasan syabu seberat 1.8 tan, selain kes penolakan suapan RM45,000 di Johor,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.
Untuk makluman, program pengiktirafan itu merupakan kesinambungan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Keutuhan Pengurusan Kerajaan (JKKMKPK) pada 19 Ogos 2010 serta Surat Pekeliling Garis Panduan yang dikeluarkan Ketua Setiausaha Negara pada 11 Mei 2011.
Mengulas lanjut, Abdul Halim berkata, bagi siri penilaian 2026 pula, seramai 54 calon penjawat awam daripada empat agensi penguatkuasaan dikemukakan oleh pihak sekretariat untuk penilaian.
Katanya, ia membabitkan polis dengan 38 calon, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) (12), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) (3) dan imigresen (1).
“Penilaian tahun ini membabitkan 30 kertas siasatan dengan jumlah nilai rasuah yang cuba disogokkan mencecah RM304,621.
“Semua calon yang dinilai melepasi proses tapisan keutuhan SPRM dan semakan rekod jenayah polis bagi memastikan mereka memenuhi kelayakan ditetapkan.
“Daripada jumlah itu, seramai 529 individu diperaku menerima ganjaran berserta sijil, manakala 123 individu diperaku menerima sijil penghargaan,” katanya.
Abd Halim berkata, pengiktirafan itu bukan saja melambangkan penghargaan terhadap integriti penjawat awam, tetapi juga menjadi satu dorongan dan contoh kepada penjawat awam yang lain.
Daripada segi kriteria, katanya, penjawat awam yang dicalonkan perlu membuat aduan rasmi mengenai pemberian atau penerimaan rasuah, serta memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pegawai penyiasat SPRM sehingga perbicaraan kes di mahkamah selesai.
“Inisiatif pemberian ganjaran ini diperluaskan bukan saja terhad kepada agensi penguatkuasaan, malah kepada seluruh sektor perkhidmatan awam, khususnya pegawai di bahagian perolehan supaya tampil berani menyalurkan maklumat bagi membendung kegiatan rasuah.
“Keberanian penjawat awam untuk tampil melaporkan cubaan rasuah adalah amat penting dalam membantu usaha membendung kegiatan rasuah dan memperkukuhkan budaya integriti dalam perkhidmatan awam,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post 652 penjawat awam terima ganjaran RM1.18 juta lapor, tolak rasuah appeared first on Kosmo Online.






