67 pelajar cemerlang SPM Teluk Intan terima imbuhan hingga RM3,000

LocalPolitics
27 Apr 2026 • 3:10 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 67 pelajar cemerlang SPM Teluk Intan terima imbuhan hingga RM3,000
Inisiatif berjumlah RM125,000 disampaikan kepada 67 pelajar cemerlang SPM di Parlimen Teluk Intan bertujuan meringankan beban pelajar dan keluarga dalam meneruskan pengajian ke institusi pengajian tinggi.
Image from: 67 pelajar cemerlang SPM Teluk Intan terima imbuhan hingga RM3,000
Pemberian sumbangan kepada pelajar cemerlang SPM merupakan inisiatif berterusan Pusat Khidmat DAP Parlimen Teluk Intan sejak 2023 bagi menghargai kecemerlangan akademik pelajar.

TELUK INTAN - Seramai 67 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Parlimen Teluk Intan menerima imbuhan kewangan sehingga RM3,000 sebagai penghargaan atas pencapaian akademik mereka.

Bantuan berjumlah RM125,000 itu disampaikan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan merangkap Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming dalam satu majlis di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) San Min di sini pada Isnin.

Beliau berkata, inisiatif tersebut bertujuan meringankan beban pelajar dan keluarga dalam meneruskan pengajian ke institusi pengajian tinggi.

“Kerajaan Madani sentiasa komited membantu meringankan beban pelajar serta memberi motivasi atas usaha gigih mereka sehingga mencapai keputusan cemerlang dalam SPM,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Hadir sama, Exco Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Kampung Baru Cina Perak, Woo Kah Leong.

**media[3503696]**

Dalam majlis itu, empat pelajar yang memperoleh keputusan 11A menerima RM3,000, diikuti 27 pelajar dengan 10A menerima RM2,000, manakala 36 pelajar yang mendapat 9A menerima RM1,500.

Selain itu, seramai 10 pelajar turut menerima RM500 sebagai Anugerah Kemajuan atas peningkatan prestasi masing-masing.

Kor Ming berkata, program berkenaan merupakan inisiatif berterusan Pusat Khidmat DAP Parlimen Teluk Intan sejak 2023 bagi menghargai kecemerlangan akademik pelajar.

“Usaha seperti ini akan terus diperkasa bagi menyuntik semangat generasi muda mencapai keputusan lebih cemerlang,” katanya.

Dalam majlis berasingan, beliau turut menyalurkan bantuan RM111,600 kepada 179 lagi pelajar cemerlang SPM.

Sumbangan RM1,200 turut diberikan kepada 12 guru terpilih sebagai penghargaan atas peranan mereka dalam membentuk kejayaan pelajar.