IPOH - Keyakinan pelabur terhadap negeri Perak tidak terjejas di sebalik isu pelaburan syarikat kenderaan elektrik (EV) dari China, BYD di Tanjung Malim.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, malah terdapat beberapa pelabur baharu yang menunjukkan minat mereka terhadap negeri ini.
Menurutnya, Perak tidak hanya bergantung kepada satu pelabur sahaja malah taman-taman industri sedia ada bersedia menerima kehadiran pelabur.
"Kita bukanlah hanya satu pelabur sahaja yang masuk ke negeri Perak. Tadi pun kita ada menerima taklimat daripada pelabur daripada Taiwan sebanyak RM840 juta (nilai pelaburan).
"Walaupun kita kecewa dengan apa yang berlaku terhadap BYD tetapi kita harap ia tak akan menyebabkan kita berputus asa ataupun memberi laporan yang tak baik di kalangan pelabur-pelabur sebab ini kes yang terpencil," katanya pemberita.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penganugerahan Sijil Penghargaan Biasiswa Menteri Besar Perak Tahun 2026 Kepada Pelajar Cemerlang SPM dan Penyerahan Mock Cheque Biasiswa Agrotek Perak SADC-YP di Pejabat Menteri Besar Perak di sini pada Rabu.
Saarani berkata, usaha menarik pelabur ke Perak masih diteruskan bagi memastikan industri terus berkembang.
Sementara itu, Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Loh Sze Yee memaklumkan kerajaan negeri masih berusaha memastikan projek berkenaan dapat diteruskan.
Menurutnya, rayuan telah dikemukakan kepada pihak pentadbiran tertinggi kerajaan Persekutuan termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk pertimbangan lanjut.
“Kami masih dalam proses rayuan dan telah menyalurkan perkara ini ke peringkat Perdana Menteri. Pihak berkaitan sedang menganalisis maklumat yang ada dan keputusan dijangka dibuat dalam masa terdekat.
“Kami berharap semua pihak memberi kepercayaan kepada pentadbiran sedia ada dan kerajaan negeri akan bekerjasama sepenuhnya dengan kerajaan Persekutuan dalam apa jua keputusan yang dibuat nanti,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan perancangan BYD untuk membina kilang pemasangan kenderaan elektrik (CKD) di Malaysia mungkin tidak diteruskan susulan syarat baharu ditetapkan MITI.
Antara isu utama yang menjadi titik perbezaan ialah keperluan supaya 80 peratus kenderaan yang dihasilkan dieksport manakala hanya 20 peratus dibenarkan untuk pasaran tempatan dengan harga tidak kurang RM200,000.
Bagaimanapun MITI dalam satu kenyataan menjelaskan bahawa tiada syarat yang tidak memihak dikenakan terhadap pengeluar kereta, sebaliknya keperluan itu terpakai sama rata kepada semua pelaburan automotif baharu sejak September 2025.
Menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, syarat yang dikenakan adalah tidak diskriminasi dan terpakai sama rata kepada semua projek pemasangan automotif berskala besar tanpa mengira jenama dan negara asal.


