68 tahun lama, perlu ajar cara pasang Jalur Gemilang lagi? – Ridhuan Tee

LocalPolitics
25 Aug 2025 • 9:51 AM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Pengajaran atau penerangan mengenai cara betul mengibarkan Jalur Gemilang sepatutnya tidak lagi menjadi isu, memandangkan Malaysia sudah merdeka hampir tujuh dekad.

Ridhuan Tee bersuara

Menurut laporan Utusan Online, penceramah bebas, Prof. Dr. Ridhuan Tee Abdullah berkata, Jalur Gemilang sebagai lambang kedaulatan negara seharusnya menjadi pengetahuan asas setiap rakyat.

Ridhuan Tee berkata selepas lebih 68 tahun merdeka, sepatutnya masyarakat sudah jelas dan faham tentang simbol maruah negara itu. Namun, masih ada yang tersilap memasang bendera dalam keadaan terbalik.

image is not available

Foto: Utusan

“(Masih) perlu ajar cara pasang bendera lagi? Bendera adalah lambang kedaulatan sesebuah negara. Kalau dalam perang, bendera adalah simbol yang diangkat sebagai lambang sama ada menang dalam peperangan atau tidak.

“Maknanya, isu bendera bukan kecil. Ia (benda) masalah besar. Saya tidak pernah jumpa lagi di negara lain, pemimpin pergi ajar rakyat cara pasang bendera,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Forum Ayuh Bangkit Bangsaku anjuran Muafakat Nasional (MN) Selangor, di Kuala Selangor pada Sabtu.

Berdasarkan laporan media, terdapat sekurang-kurangnya empat kejadian bendera Jalur Gemilang dipasang terbalik sepanjang sambutan bulan kemerdekaan hingga menjelang Hari Kebangsaan tahun ini.

image is not available

Foto: Media sosial

Insiden tersebut menyebabkan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad lantang bersuara sehingga menganjurkan perhimpunan di Bertam, Pulau Pinang untuk menegaskan bahawa kesilapan memasang Jalur Gemilang secara terbalik sama sekali tidak boleh diterima.

image is not available

Foto: BH Online

Namun begitu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu didakwa di Mahkamah Majistret di Bukit Mertajam, Pulau Pinang baru-baru ini atas tuduhan mengeluarkan kenyataan dalam laman sosial miliknya yang ia dilihat menimbulkan kegentaran awam.

Sementara itu, Dr. Ridhuan Tee memuji Datuk Dr. Muhamad Akmal sebagai pemimpin yang pantas memberi respons terhadap isu berkenaan, selain mengajak golongan belia di negara ini mencontohi semangat patriotisme anak muda di Indonesia.

“Jati diri orang Indonesia itu kencang. Dia tak main (cuai) pasang bendera terbalik dan sebagainya.

“Setiap tahun, anak muda Indonesia akan bersumpah sanggup hidup mati untuk negaranya. Sumpah ketua pemudanya iaitu kecintaan kepada bangsa Indonesia. Itu mereka angkat setiap tahun. Kecintaan kepada bangsa Indonesia,” kongsinya.

Sumber: Utusan Online (Mohamad Athir Ismail)