
Seramai 691 guru dikenal pasti memerlukan intervensi segera berkaitan kesejahteraan psikologi menerusi saringan yang dilaksanakan Kementerian Pendidikan (KPM) terhadap 82,126 guru di seluruh negara.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, dapatan saringan Inventori Kesejahteraan Psikologi (IKPsi) mendapati 636 guru berada pada tahap sederhana, 32 pada tahap sederhana rendah dan 23 pada tahap rendah.
Menurut beliau, jumlah tersebut bersamaan dengan 0.84 peratus daripada keseluruhan guru yang menjalani saringan berkenaan.
Bagaimanapun, majoriti guru, iaitu 99.16 peratus, berada pada tahap kesejahteraan psikologi yang baik, merangkumi 50,869 guru pada tahap tinggi dan 30,566 guru pada tahap sederhana tinggi.
691 Guru Perlukan Sokongan Psikologi Segera

"Secara keseluruhannya, dapatan ini menunjukkan majoriti guru yang menjalani saringan berada pada tahap kesejahteraan psikologi yang baik, namun KPM terus memberikan perhatian dan intervensi kepada guru yang dikenal pasti memerlukan sokongan," katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen.
Beliau menjawab soalan Datuk Muslimin Yahya (PN-Sungai Besar) mengenai bilangan guru dalam kategori masalah kesihatan dan kecelaruan mental serta langkah intervensi dan bantuan sokongan yang dilaksanakan KPM bagi membantu mereka meneruskan kehidupan dan kerjaya.
Dalam pada itu, Fadhlina memaklumkan bahawa KPM melaksanakan beberapa pendekatan intervensi secara menyeluruh yang merangkumi aspek pembangunan, pencegahan dan pemulihan menerusi perkhidmatan psikologi dan kaunseling.
"Antara perkhidmatan yang disediakan termasuk kaunseling individu dan kelompok, ujian psikologi, bimbingan dan konsultasi serta program pengurusan stres dan sokongan emosi kepada warga KPM," ujarnya.
Baca juga:
PM Anwar Zahir Dukacita Susulan Tragedi Perlanggaran Kereta Api Di Sepanyol
Hilang Kedua-dua Tangan Dan Kaki, Graduan UiTM Hidap Kanser Darah Hadir Konvokesyen Demi Ibu
Menurut beliau, langkah intervensi turut dimulakan melalui pengesanan dan pengenalpastian keperluan individu, diikuti intervensi psikologi dan kaunseling yang bersesuaian.
"Intervensi yang berfokus pada isu dan keperluan individu merangkumi pengurusan kewangan, keterhutangan serius, prestasi sederhana dan isu berkaitan kesihatan mental.
"Dalam situasi krisis, sokongan diberikan menerusi intervensi yang membantu individu menstabilkan emosi, mengenal pasti kekuatan dan sumber sokongan serta membina pelan tindakan untuk kembali berfungsi.
"Pendekatan KPM bukan sahaja memberikan tumpuan kepada penyelesaian masalah semasa, malah turut memperkukuh keupayaan guru untuk mengekalkan kesejahteraan dalam jangka panjang.
"Usaha ini bertujuan membantu guru kembali stabil dan berfungsi dengan baik, sekali gus membolehkan mereka meneruskan kehidupan dan kerjaya dengan lebih berdaya tahan.
"Antara aspek yang diberikan penekanan ialah penjagaan kendiri, pengurusan emosi, komunikasi, kemahiran daya tindak, ketahanan diri, pengukuhan nilai hidup serta sokongan sosial dan profesional," katanya.






