
KUALA LUMPUR – Seramai 691 guru memerlukan intervensi segera selepas saringan berkaitan kesihatan dan kesejahteraan psikologi dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) melibatkan 82,126 guru di seluruh negara.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, dari segi pecahan guru yang memerlukan intervensi segera, seramai 636 guru berada dalam tahap sederhana, 32 guru berada di tahap sederhana rendah dan 23 guru berada tahap rendah.
Menurutnya, angka 691 tersebut bersamaan 0.84 peratus daripada jumlah keseluruhan guru yang menjalani saringan berkenaan.
“Berdasarkan data profiling Inventori Kesejahteraan Psikologi (IKPsi) sehingga 9 Ogos itu, sebanyak 99.16 peratus berada pada tahap sejahtera merangkumi 50,869 guru tahap tinggi dan 30,566 guru berada pada tahap sederhana tinggi.
“Secara keseluruhan, dapatan ini menunjukkan majoriti guru yang menjalani saringan berada pada tahap kesejahteraan psikologi yang baik, namun KPM terus memberikan perhatian dan intervensi kepada guru dikenal pasti memerlukan sokongan,” katanya menerusi jawapan bertulis disiarkan di lawan web Parlimen.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Ahli Parlimen Sungai Besar, Datuk Muslimin Yahaya (PN) berhubung bilangan guru dalam kategori masalah kesihatan dan kecelaruan mental.
Fadhlina berkata, KPM sentiasa memberikan perhatian terhadap aspek kesihatan dan kesejahteraan psikologi guru bagi memastikan mereka dapat menjalankan tanggungjawab dengan baik serta meneruskan kelangsungan kehidupan dan kerjaya dalam perkhidmatan pendidikan.
“Berdasarkan rekod Sistem Pengurusan Perkhidmatan Kaunseling (e-2PK) KPM sehingga 25 September lalu, menunjukkan daripada jumlah keseluruhan guru, terdapat sebanyak 0.46 peratus yang mendapatkan perkhidmatan psikologi dan kaunseling yang dikenal pasti mempunyai masalah kesihatan.
“Daripada jumlah tersebut, 0.13 peratus terlibat dengan masalah kesihatan fizikal, manakala sebanyak 0.33 peratus terlibat dengan masalah kesihatan mental.
“KPM juga melaksanakan saringan IKPsi bertujuan untuk melihat tahap kesejahteraan psikologi warga pendidikan bagi memastikan sokongan psikososial, bantuan kaunseling dan kestabilan institusi dapat dirancang dengan optimum,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post 691 guru perlukan intervensi psikologi appeared first on Kosmo Online.






