7 Ajaran Sesat Dikenal Pasti Di Selangor Dalam Tempoh 5 Tahun

28 May 2026 • 1:24 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

7 Ajaran Sesat Dikenal Pasti Di Selangor Dalam Tempoh 5 Tahun

KUALA LUMPUR - Tujuh ajaran sesat berjaya dikenal pasti di Selangor, antara 2021 hingga tahun lalu, menerusi siasatan terperinci dan sistematik dijalankan pihak berkuasa agama negeri itu.

Ketua Bahagian Fatwa Jabatan Mufti Selangor, Mohamad Shukry Sulaiman berkata, proses tersebut bukan sekadar berdasarkan aduan awam semata-mata.

Menurut beliau, ia sebaliknya melibatkan kajian mendalam, sesi temu bual dan penyelarasan bersama pelbagai agensi termasuk Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

“Pihak berkuasa hanya akan menyediakan penilaian rasmi selepas memperoleh kefahaman jelas mengenai pegangan sesuatu kumpulan sebelum ia dibandingkan dengan teras akidah Ahli Sunnah Waljamaah bagi menentukan sebarang keputusan,” katanya, seperti dilaporkan Media Selangor.

Jelas Mohamad Shukry, keputusan sama ada sesuatu ajaran itu menyeleweng daripada ajaran Islam yang diterima akan dimuktamadkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Fatwa, dengan setiap kes diteliti secara berhati-hati tanpa membuat andaian awal.

“Kes melibatkan ajaran yang tersebar di luar Selangor akan dibawa ke peringkat kebangsaan untuk dibincangkan sebelum diselaraskan di semua negeri,” katanya.

Beliau menarik perhatian, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) turut memperkenalkan program pemulihan bertujuan membimbing pengikut kembali kepada pegangan sebenar.

Program tersebut katanya, disusun secara sistematik namun fleksibel memandangkan setiap individu memberi tindak balas berbeza.

“Ada peserta yang dapat kembali dengan cepat, ada juga yang mengambil masa lebih lama. Terdapat juga individu yang hadir sekadar memenuhi syarat tanpa penglibatan secara serius.

“Namun secara keseluruhannya, proses ini masih terkawal dan tidak ubah seperti menghadiri kelas agama,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, pihak berkuasa turut memaklumkan bahawa beberapa kumpulan yang diisytiharkan sesat di peringkat tempatan masih aktif beroperasi di luar negara dengan menggunakan media sosial untuk mengekalkan pengaruh dan capaian mereka.

Penolong Mufti, Nur Atiqah Sulaiman berkata, penguatkuasaan menjadi lebih mencabar dalam situasi sedemikian, khususnya apabila individu terbabit berpindah ke luar negara tetapi masih aktif di platform digital.

Sementara itu, Penolong Kanan Mufti, Abdul Wahid Ishak menegaskan, tindakan undang-undang tidak hanya tertumpu kepada ketua kumpulan.

“Terdapat kes kandungan yang menyokong ajaran terbabit dikongsi di media sosial oleh individu yang bukan ahli mahupun pemimpin kumpulan tersebut. Tindakan sedemikian masih boleh dikenakan penguatkuasaan,” katanya.

Menurut beliau, pengikut serta individu yang mempromosi atau membantu menyebarkan ajaran sedemikian di media sosial juga boleh berdepan tindakan. – Getaran, 28 Mei 202