Culas warta 18 tahun punca kolam takungan banjir KL terlepas ke tangan pemaju: Hannah

LocalPolitics
26 May 2026 • 12:41 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

Image from: Culas warta 18 tahun punca kolam takungan banjir KL terlepas ke tangan pemaju: Hannah

KUALA LUMPUR – Kelewatan kritikal selama 18 tahun dalam proses pewartaan kawasan kolam takungan banjir di ibu negara dikenal pasti sebagai punca utama yang membolehkan tanah sensitif berkenaan 'diserahkan' kepada pemaju bagi projek pembangunan bercampur.

Mendedahkan perkara itu, Menteri di Jabatan Perdemean Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, pembongkaran tersebut dimaklumkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu sesi taklimat bersama pengurusan tertinggi Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP).

Menurut Hannah, siasatan SPRM mendapati perizaban kawasan kolam takungan banjir itu telah diluluskan sejak 19 Jun 1998, namun proses pewartaan masih belum dilaksanakan ketika pemberimilikan tanah dibuat.

“Justeru, pada 9 Oktober 2016, mesyuarat Jawatankuasa Kerja Tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bersetuju membatalkan kelulusan perizaban yang diluluskan pada 19 Jun 1998 bagi membolehkan kelulusan pemberimilikan seluas 80 ekar diberikan kepada pemaju untuk pembangunan bercampur dengan pengenaan premium berjumlah RM214 juta.

“Terdapat kelewatan selama 18 tahun untuk tindakan pewartaan kawasan ini diambil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sesi taklimat khas itu dihadiri oleh pengurusan tertinggi JWP bersama delegasi SPRM yang diketuai Ketua Pesuruhjaya SPRM, Abd Halim Aman. Turut hadir ialah Ketua Pengarah JWP, Muhammad Azmi Mohd Zain; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Fadlun Mak Ujud; dan Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan, Rahilah Rahmat.

Isu penukaran status tanah kolam takungan banjir ini sebelum ini mencetuskan polemik hebat. Bagaimanapun, pada 15 Mei lalu, SPRM mengesahkan bahawa kes berkenaan telah diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) oleh Timbalan Pendakwa Raya (DPP).

"Ia berkata keputusan itu dibuat selepas siasatan menyeluruh SPRM berdasarkan keterangan dan dokumen diperolehi mendapati tiada unsur rasuah dikenal pasti."

Siasatan terperinci itu merangkumi penukaran status beberapa kawasan berhampiran kolam takungan air di ibu negara, termasuk di Taman Wahyu, bagi tujuan pembangunan.

Hannah menjelaskan, rantaian siasatan SPRM sebenarnya telah bermula sejak 2021 ekoran laporan media dan penemuan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2019 Siri 2. Laporan itu mendedahkan enam kolam takungan banjir telah diluluskan pemberimilikan oleh Pejabat Tanah dan Galian WPKL (PTGWPKL) bagi tujuan pembangunan kediaman dan bercampur.

Meskipun berlaku kelonggaran dari segi birokrasi, hasil siasatan muktamad mendapati tiada sebarang unsur rasuah, penyelewengan serta salah-guna kuasa dalam proses pemberimilikan serta perintah pembangunan diberikan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kepada pemaju.

“SPRM menjalankan semakan dokumen, merakam keterangan saksi termasuk pemaju terlibat, selain melakukan lawatan ke tapak kolam takungan banjir berkenaan.

“Juruukur yang dilantik juga mengesahkan tiada sebarang pencerobohan sempadan berlaku oleh pihak pemaju,” jelas beliau.

Rentetan daripada kes tersebut, SPRM mengesyorkan supaya semua kelulusan pembangunan pada masa depan mengambil kira risiko dan fungsi kolam takungan banjir menerusi proses penilaian yang jauh lebih ketat.

Dalam perkembangan sama, Hannah menyatakan SPRM turut memuji tindakan DBKL menghentikan serta-merta semua kelulusan kebenaran merancang dan pembangunan baharu di kawasan kolam takungan banjir bagi mengelakkan implikasi tebatan banjir bandaraya terjejas.

Mengambil iktibar daripada kelemahan lampau, JWP kini beralih ke mod agresif bagi memastikan aset hijau dan kolam takungan di ibu negara tidak terus 'ditelan' arus pembangunan tanpa perlindungan undang-undang.

“JWP kini menubuhkan pasukan petugas khas bagi mempercepat proses pewartaan kawasan hijau dan kolam takungan banjir bagi mengelakkan isu sama berulang.

“Ia komited untuk terus memelihara kawasan lapang dan kolam takungan banjir dan akan mempercepatkan proses pewartaan baki 30% kawasan lapang dan kolam takungan banjir yang telah diluluskan,” tegas Hannah. - 26 Mei, 2026

The post Culas warta 18 tahun punca kolam takungan banjir KL terlepas ke tangan pemaju: Hannah appeared first on Scoop.