![‘7 Daripadanya Rugi 100%’ – Amir Hamzah Dedah Tabung Haji Kerugian RM13 Bilion Daripada 14 Pelaburan [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/08/%E2%80%987-Daripadanya-Rugi-100-Amir-Hamzah-Dedah-Tabung-Haji-Kerugian-RM13-Bilion-Daripada-14-Pelaburan.jpg)
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mendedahkan bahawa Lembaga Tabung Haji (TH) mencatat kerugian hampir RM13 bilion menerusi 14 pelaburan yang mana tujuh (7) daripada itu mencatatkan kerugian 100%.
Jelas beliau, pelaburan TH dengan syarikat pemaju hartanah dan pengurusan projek berpangkalan di Arab Saudi, Al-Rawda Real Estates Development & Project Management Co. Ltd (Al-Rawda) merekodkan kerugian terbesar dalam senarai pelaburan terbabit.
‘Kerajaan Tanggung RM10.2 Bilion Daripada Kerugian Cecah RM13 Bilion’ – Amir Hamzah
Tambahnya, kerugian RM13 bilion itu merangkumi RM10.2 bilion yang ditanggung kerajaan melalui Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) pada 2018 dan rosot nilai RM2.6 bilion yang ditanggung TH sendiri.
“Melalui perjanjian pajakan 2015 sehingga 2017, TH membayar 1.4 bilion Riyal atau RM1.5 bilion kepada orang tengah untuk memajak empat hotel di Madinah dan Makkah bagi penginapan jemaah haji.
“Orang tengah tersebut sepatutnya mengendalikan keempat-empat hotel dan berjanji membayar sewa 2.49 bilion Riyal kepada TH. Malangnya, bayaran tersebut gagal dilunaskan,” katanya.
Menurut kenyataan Kementerian Kewangan (MOF) di laman Facebook, berikut adalah antara pelaburan yang mencatatkan kerugian tinggi:
- Pelaburan Al-Rawda di Arab Saudi (rugi RM1.8 bilion)
- Putrajaya Perdana (RM193.5 juta)
- Projek OPV: TH Heavy Engineering (RM310 juta)
- PT TH Indo Plantation (RM310 juta)
- Trurich Resources (RM364 juta)
Baca Artikel Berkaitan: ‘Nak Bahas Saya Atau Tabung Haji?’ – Anwar Selar Pembangkang Keluar Dewan Rakyat Atas Alasan PM Tak Hadir
Baca Artikel Berkaitan: Tabung Haji Rugi RM10 Bilion Sebab Tak Ikut Peraturan & Banyak Masalah Sejak 2014 – Anwar
Baca Artikel Berkaitan: RCI Tabung Haji: SPRM Tahan Bekas CEO, CFO Selepas Disyaki Salah Guna Kuasa Beli Saham Nilai RM370 Juta
Salah Laku Kewangan & Pelaburan Punca Utama Kerugian RM13 Bilion – Amir Hamzah
Amir Hamzah berkata, punca utama masalah tersebut adalah disebabkan salah laku kewangan dan pelaburan.
“Kerugian ini tidak berlaku tiba-tiba dalam penyata akaun, sebaliknya keputusan pelaburan kepimpinan terdahulu. Perakaunan umpama termometer. Ia hanya tunjuk anda demam. Sembunyikan termometer tidak menyembuhkan demam anda.
“Yang mesti dirawat ialah penyakitnya, pelaburan yang hilang nilai, risiko yang tidak terkawal tanpa proses membuat keputusan yang lemah,” katanya semasa perbahasan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji di Dewan Rakyat semalam (11 Ogos).
‘Jaminan Pelaburan Hanya Pada Sekeping Nota Janji, Tetapi Tetap Teruskan Bayaran Pendahuluan’ – Amir Hamzah
Dalam masa sama, Amir Hamzah turut mempersoalkan barisan kepimpinan TH terdahulu yang meluluskan bayaran pendahuluan yang besar iaitu sebanyak RM1.5 bilion dengan hanya berlandaskan nota janji peribadi.
“Jaminan pelaburan yang disandarkan hanya sekeping nota janji peribadi. Sebagaimana rekod RCI menyatakan, Jabatan Pengurusan Risiko TH ada meminta jaminan bank tetapi Al-Rawda gagal sediakan.
“Laporan ‘due diligence’ (semakan terperinci) juga tidak lengkap. Namun kepimpinan TH tetap meneruskan urus niaga bersandarkan nota jaminan tersebut. Lebih RM1.5 bilion wang umat Islam dipertaruhkan tanpa cagaran bernilai,” katanya, lapor Berita Harian.
Kedudukan Tabung Haji Kini Stabil & Semakin Kukuh – MOF
Pun begitu menurut kenyataan MOF, kedudukan TH pada ketika ini stabil, malah semakin kukuh susulan jumlah aset melebihi liabiliti serta peningkatan dana simpanan pendeposit dan kadar agihan.
MOF berkata aset TH berjumlah RM98.58 bilion melebihi liabiliti RM95.63 bilion pada 31 Disember 2025, manakala dana simpanan pendeposit meningkat daripada RM75.4 bilion pada 2018 kepada RM93.4 bilion pada 2025.
“Kadar agihan juga meningkat daripada 1.25 peratus (2018) kepada 3.50 peratus (2025), berjumlah RM3.22 bilion.”
Simpanan Deposit Dijamin Bawah Seksyen 24 Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535)
Dalam pada itu, kementerian itu menegaskan bahawa simpanan pendeposit TH selamat dan keseluruhan simpanan setiap pendeposit dijamin oleh kerajaan di bawah Seksyen 24 Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535).
“Simpanan haji rakyat selamat, dan institusi yang menyimpan cita-cita haji rakyat akan sentiasa dijaga, untuk generasi hari ini dan generasi akan datang.”
Baca Artikel Berkaitan: “Ini Soal Amanah” – Anwar Jelas Pendedahan Laporan RCI Tabung Haji Bukan Politik Picisan
Baca Artikel Berkaitan: ‘Laporan RCI Tabung Haji Sahkan 5 Isu Pokok Termasuk Transaksi Mencurigakan’ – Rafizi
Baca Artikel Berkaitan: Jabatan Audit Negara Gagal Tegur TH Isytihar Hibah 2017 Sebanyak RM2.75 Bilion – RCI Tabung Haji






