
KUALA LUMPUR - Dakwaan bahawa Tabung Haji (TH) mengalami kerugian akibat kejatuhan pasaran saham adalah tohmahan semata-mata kerana pasaran saham berada pada tahap kukuh dan mencapai paras tertinggi pada 2018, dengan kejatuhan saham pada tahun itu hanya sekitar enam peratus.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, bagaimanapun nilai pegangan saham TH pada masa itu menyusut ketara berbanding prestasi pasaran saham.
Beliau berkata demikian semasa sesi penggulungan penerangan Mesyuarat Khas Dewan Rakyat mengenai laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan TH oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan di Dewan Rakyat semalam.
Isu berkaitan kedudukan kewangan TH sebelum ini mencetuskan kontroversi hangat selepas Laporan RCI mendedahkan kelemahan serius dalam tadbir urus dan pengurusan kewangan institusi berkenaan bagi tempoh 2014 hingga 2020.
Antara penemuan utama RCI termasuk amalan pembayaran hibah yang terlalu tinggi melebihi kemampuan kewangan sebenar TH sehingga menghakis rizab dan mewujudkan defisit.
Laporan itu turut mendedahkan penggunaan amalan perakaunan kreatif — contohnya pada tahun kewangan 2017 apabila TH mengumumkan keuntungan bersih RM3.4 bilion, sedangkan mengikut piawaian perakaunan MFRS sebenar, TH mengalami kerugian bersih RM1.4 bilion.
Krisis tersebut memaksa kerajaan melaksanakan pelan penstrukturan semula dan pemulihan pada 2018, termasuk memindahkan aset-aset bermasalah dan tidak berprestasi kepada syarikat tujuan khas (SPV) Urusharta Jamaah Sdn Bhd.
Tadbir urus diperketat, hibah kembali mampan
Mengulas mengenai usaha pemulihan berkenaan, Amir Hamzah berkata perubahan dalam pengurusan dan Lembaga Pengarah TH telah banyak membantu memperketat kawalan serta memperbaiki tadbir urus institusi berkenaan.
Melihat kepada pencapaian TH selepas 2018 apabila institusi itu terpaksa membuat susut nilai sebanyak RM2.6 bilion terhadap pegangan yang masih dimilikinya, katanya TH masih berupaya memberi hibah dengan jumlah yang meningkat pada setiap tahun.
“Ini contoh yang telah dibuat kerana perubahan yang telah diadakan dalam Tabung Haji,” katanya.
Mengulas lanjut, Amir Hamzah berkata beliau turut mengambil maklum mengenai cadangan RCI supaya pengisytiharan hibah hanya dibuat selepas penyata kewangan diaudit, berbanding sebelum ini yang dibuat secara pro forma.
“Oleh itu, sebarang kebimbangan mengenai isu yang berlaku sebelum ini telah ditangani melalui penambahbaikan yang dilaksanakan sekarang,” jelasnya. - 12 Ogos, 2026
The post Dakwaan Tabung Haji rugi kerana pasaran saham tidak benar, prestasi 2018 kukuh: Amir Hamzah appeared first on Scoop.






