Honor Magic V5 dilancarkan di China minggu lalu dan telah berjaya memintas Oppo Find N5 sebagai telefon lipat paling nipis di dunia. Siapa sangka dalam masa beberapa tahun sahaja reputasi peranti lipat yang tebal, berat, kurang tahan lasak dan sistem kamera kurang memuaskan dapat dihapuskan. Honor Malaysia mengesahkan V5 akan dilancarkan di Malaysia pada 15 Julai depan, Di bawa pada hemat kami ialah 7 perkara paling menarik pada Honor Magic V5.
1.Badan Nipis

Bila bercakap mengenai nipis berapakah sebenarnya ketebalan Magic V5? Jawapannya ialah setebal sekeping siling 50 sen atau 4.1mm dalam unit S.I. Ini menjadikannya lebih nipis berbanding 4.4mm pada Magic V3 dan lebih penting lagi memintas Find N5 setebal 4.2mm. Dalam kedudukan dilipat pula ia setebal 8.8 mm yang adalah sama dengan Magic7 Pro. Telefon lipat Honor kini sama tebalnya dengan telefon candybar mereka.
2.Bateri Besar

Ya Magic V5 ialah telefon lipat paling nipis setakat ini dan pasti ramai menyangka antar pengorbanan yang dilakukan ialah ia dilengkapi bateri yang kecil. Sangkaan ini meleset dan menyimpang sama sekali kerana ia dilengkapi bateri sebesar 5820 mAh. Ini adalah lebih besar berbanding bateri Galaxy S25 Ultra dan iPhone 16 Pro Max.
Ini membolehkan video distrim berterusan selama lima jam pada skrin utama dan bermain permua selama sejam. Apakah sihir yang digunakan Honor sehingga bateri besar boleh dimasukkan ke dalam tubuh nipis? Bukan sihir sebenarnya tetapi ianya ilmu kimia bateri silikon karbon.
3.Pengecas Pantas 66W

Bateri besar ini kemudiannya boleh dicas pantas menggunakan pengecas 66W secara berwayar dan 50W secara nirwayar. Kerana anda dan saya semua tahun bateri besar gedabak tak bermakna jika mengambil masa lebih 3 jam untuk dicas sepenuhnya. Tidak seperti sesetengah pengeluar, pengecas disertakan dengan setiap pembelian peranti.
4.Skrin Tahan Lasak

Peranti lipat generasi awal kesemuanya mempunyai isu ketahanan jangka panjang. Ada yang mula bergaris selepas beberapa bulan, ada yang terkupil permukaan plastik pelindung dan ada juga yang rosak apabila ditutup dengan kotoran. Skrin luar V5 hadir dengan teknologi NanoCrystal Shield mengelakkan calar.
Skrin dalaman pula menggunakan prinsip bendalir bukan-Newtonian yang boleh menyerap hentakan dengan lebih baik disamping kerangka gentian karbon yang diperbuat daripada bahan yang digunakan industri aeroangkasa. Benteng akhir pula ialah sistem AI yang mengesan bendasing seperti debu atau kotoran sekecil 0.8mm pada skrin dalaman.
5.Engsel Tahan Lama

Bukan sekadar skrin tahan lasak, engsel Honor Super Steel Hinge generasi kedua yang digunakan juga dipertingkatkan. Ia diuji untuk tahan 500,0000 kitaran dibuka dan ditutup yang bersamaan dibuka serta ditutup 100 kali sehari selama 13 tahun. Engsel juga boleh mengangkat beban sehingga 35 tanpa sebarang kerosakan dan juga boleh digunakan untuk mengangkat sebuah sofa. Secara logiknya ini adalah dua situasi di luar kotak tetapi ia dilakukan bagi memberikan kepercayaan jangka panjang bakal pemilik.
6.Kalis Air dan Debu IP58/ IP59

Tak berguna nipis, tahan lasak dan berbateri besar jika tidak mampu bertahan dengan titisan air serta debu. Kemampuan kalis air dan debu ialah isu utama majoriti peranti lipat sebelum ini. Pada Magic VS, ini bukan masalah kerana ia melepasi piawaian IP58 dan IP59. Ini membolehkan ia bukan sahaja tahan percikan tetapi juga tahan dicelup ke dalam air. Ia juga kalis debu yang tidak mampu dilakukan model-model sebelum ini.
7. Kamera Tahap Mercu

Pada Magic V5, telefon lipat bukan lagi anak tiri yang menerima layanan kelas kedua untuk kemampuan fotografi. Walaupun tubuh nipis ia masih hadir dengan sistem kamera utama 50+50+64MP. Lensa telefon 64MP adalah dari jenis periskop yang membolehkan zum sehingga 100X dibantu sistem OIS.
AI Super Zoom memastikan imej yang dizum pada tetapan in masih kelihatan tajam dengan butiran jelas. Sementara ciri AI juga meningkat kemampuan mod potret. Melengkapi kemampuan kamera ialah perisian AI Cutout, AI Eraser, AI Outpainting, AI Upscale dan mod potret Studio Harcourt.

