JOHOR BAHRU - [KEMAS KINI] Penantian tujuh tahun 171 mangsa pencemaran Sungai Kim Kim berakhir apabila Mahkamah Tinggi Sivil di sini, pada Rabu memutuskan mereka menang dalam saman sivil terhadap sebuah kilang pemprosesan tayar terpakai, dua pengarah dan seorang pemandu lori.
Pesuruhjaya Kehakiman Manira Mohd Nor membuat keputusan mengarahkan P Tech Resources Sdn Bhd, dua pengarahnya, Wang Jing Chao, 41, dan Yap Yoke Liang, 43, serta pemandu lori, N Maridass, 42, membayar kos guaman RM100,000 kepada semua plaintif.
Bagaimanapun, saman terhadap lapan defendan lain termasuk Kerajaan Negeri Johor, Menteri Besar ketika kejadian Allahyarham Datuk Osman Sapian, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri ketika itu, Datuk Sahruddin Jamal, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Johor dan Majlis Perbandaran Pasir Gudang (kini Majlis Bandaraya Pasir Gudang) gagal.
Kesemua plaintif turut diarahkan membayar kos guaman RM80,000 kepada lapan defendan terbabit.
Peguam yang mewakili plaintif, Datuk Kamarudin Ahmad berkata, keputusan itu penting dalam memastikan pihak yang menguruskan sisa toksik bertanggungjawab terhadap keselamatan alam sekitar.
Katanya, keputusan berkenaan juga menjadi peringatan kepada pengusaha kilang, kontraktor dan pengendali lori supaya tidak menguruskan sisa toksik secara sewenang-wenangnya.
"Ini adalah fasa pertama bagi menentukan liabiliti, iaitu pihak yang bertanggungjawab dalam tragedi pencemaran Sungai Kim Kim.
"Kita kini menunggu pengurusan kes bagi menentukan tarikh dan butiran proses pentaksiran ganti rugi kepada semua plaintif," katanya ketika ditemui di Mahkamah Tinggi Sivil di sini, pada Rabu.
Menurutnya, 42 plaintif terdiri daripada pelajar sekolah dan tujuh orang awam menuntut ganti rugi sebanyak RM30 juta, manakala 129 nelayan menuntut RM3 juta berikutan kerugian ekonomi.
Seramai 19 saksi plaintif dan 12 saksi defendan dikemukakan sepanjang keseluruhan 20 hari perbicaraan yang bermula 2022.




![[VIDEO] Sungai Kim Kim: 171 mangsa pencemaran menang saman](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/b5a413a9-8742-44e7-8f80-bb0766670a7e-1024x614.jpeg)