JOHOR BAHRU – Bapa kepada Irfan Wafiy Idham Wazir, 19, yang menjadi mangsa pencemaran Sungai Kim Kim, meluahkan syukur selepas penantian hampir tujuh tahun apabila mahkamah membuat keputusan terhadap insiden yang pernah menggemparkan negara pada 2019.
Idham Wazir A Wahab, 56, berkata, keputusan itu melegakan keluarganya, namun masih terkilan kerana pihak berkuasa tidak turut dipertanggungjawabkan dalam kes berkenaan.
“Alhamdulillah, selepas tujuh tahun akhirnya kes ini selesai. Namun, saya terkilan kerana pihak yang mempunyai kuasa tidak dipertanggungjawabkan.
“Pada saya, sepatutnya mereka juga mempunyai tanggungjawab dari aspek kecuaian dalam menjaga kelestarian dan alam sekitar di kawasan Pasir Gudang,” katanya ketika ditemui selepas prosiding keputusan kes berkenaan di Mahkamah Tinggi Sivil di sini pada Rabu.
Menurutnya, keadaan Irfan Wafiy yang menghidap Myokymia kini semakin baik berbanding ketika kejadian, namun anaknya masih mengalami kesakitan pada kaki dan tidak boleh melakukan aktiviti sukan seperti biasa.
“Irfan Wafiy yang merupakan anak keempat daripada lima beradik, sekarang sudah selesai peringkat asasi Sains di Universiti Malaya. Dia berminat untuk menjadi doktor dan mengambil bidang perubatan.
“Walaupun sudah tidak menggunakan tongkat seperti dahulu, dia masih tidak boleh bersukan,” katanya.
Kejadian pencemaran sisa toksik pada Mac 2019 itu menjejaskan kesihatan lebih 2,000 orang awam dan menyebabkan 111 sekolah di Pasir Gudang ditutup.



![[VIDEO] Sungai Kim Kim: 171 mangsa pencemaran menang saman](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/b5a413a9-8742-44e7-8f80-bb0766670a7e-1024x614.jpeg)
