
KUDAT: Seramai 71 pelajar di sini yang ditawarkan tempat pengajian di universiti tempatan akan dibantu melalui salah satu bantuan pendidikan kerajaan negeri dikenali sebagai Budi (Bantuan Tunai Pendaftaran Institusi Pengajian Tinggi).
Adun Tanjong Kapor Chong Chen Bin @ Ben Chong berkata beliau mengambil inisiatif proaktif untuk membantu pelajar dari kawasannya dengan memudahkan mereka mendapat akses kepada Budi, dana bantuan tunai sekali bayar untuk pendaftaran pengajian tinggi.
Beliau berkata pelajar ini memohon Budi secara dalam talian, yang disediakan oleh Kerajaan Sabah di bawah keprihatinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor yang bertujuan untuk memberikan bantuan kewangan kepada ibu bapa apabila pelajar memulakan pengajian tinggi mereka.

