Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak menjangkakan berlaku peningkatan mendadak pendaftaran kanak-kanak kohort enam tahun ke Tahun 1 bagi sesi persekolahan 2027 dalam tempoh dua bulan akan datang.
Menurut laporan Malaysia Gazette, Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, berdasarkan perkembangan semasa, jumlah pendaftaran kanak-kanak berusia enam tahun masih berada pada trend yang hampir sama sejak beberapa bulan lalu.
“Namun demikian, apabila kita nampak trend peningkatan, dalam jawapan saya lebih kurang tiga bulan yang lepas sampailah hari ini dia lebih kurang sama sahaja.
“Maka kita tidak menjangka dia akan ada satu kenaikan mendadak dalam masa dua bulan ini,” katanya dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Foto: FB Wong Kah Woh
Beliau berkata, seramai 73,488 kanak-kanak kohort enam tahun telah mendaftar ke Tahun 1 bagi kalendar akademik 2027 berdasarkan data sehingga 30 September 2026.
Jumlah itu jauh lebih rendah berbanding anggaran 439,744 kanak-kanak berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) 2022.
Kah Woh berkata, pendaftaran kohort enam tahun berkenaan dibuat susulan pelaksanaan dasar baharu yang memberi pilihan kepada ibu bapa untuk mendaftarkan anak mereka ke Tahun 1 bermula kalendar akademik 2027.

Foto: Janaan AI
Bagaimanapun, katanya, kemasukan kanak-kanak kohort tujuh tahun masih menjadi laluan utama sepanjang tempoh peralihan pelaksanaan dasar itu, dengan seramai 418,151 kanak-kanak daripada kohort berkenaan direkodkan.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Aminuddin Harun (Port Dickson-PH) berhubung jumlah kanak-kanak berusia enam tahun yang mendaftar ke Tahun 1 bagi sesi 2027 berbanding anggaran berdasarkan data DOSM 2022 serta tahap kesiapsiagaan KPM.
Dalam memastikan pertambahan enrolmen murid dapat ditampung, Kah Woh berkata KPM mengambil kira keperluan prasarana dan sumber manusia di sekolah.
Ujarnya, sebanyak 1,478 bilik darjah tambahan baharu sedang dibina menerusi 677 projek di 605 sekolah menggunakan konsep IBS modular.
Selain itu, sebanyak 1,514 bilik tambahan turut disediakan hasil penukaran fungsi ruang sedia ada kepada bilik darjah.
Dari aspek tenaga pengajar pula, KPM menyediakan 3,150 guru secara kontrak perkhidmatan bagi memenuhi keperluan tambahan susulan kemasukan murid kohort enam tahun.
“Seperti yang saya sebut tadi, kesiapsiagaan kita daripada segi guru, dari segi prasarana, kita bersedia,” ujarnya.
Kah Woh berkata, guru yang melepasi saringan kesihatan akan menerima tawaran lantikan pada bulan ini manakala lantikan sebenar dijadualkan dibuat pada 7 Disember 2026.
Bagaimanapun, beliau berkata pemantauan terhadap jumlah pendaftaran akan diteruskan bagi membolehkan KPM mengambil langkah sewajarnya sekiranya berlaku peningkatan yang tidak dijangka.
“Tetapi seperti yang saya sebut, kita akan buat pemantauan dari masa ke semasa. Apa-apa yang disediakan ini memang cukup pada kadar ini,” katanya.
Menurutnya, pelaksanaan dasar itu pada tahun pertama turut mengambil pendekatan memberikan ruang kepada ibu bapa membuat keputusan berdasarkan keadaan dan tahap kesediaan anak masing-masing.
“Kita memberikan peluang dan pilihan kepada ibu bapa kerana mereka paling memahami keadaan serta tahap kesediaan anak masing-masing,” ujarnya.
Sumber: Malaysia Gazette (Muhammad Azizul Osman)





