
KUALA LUMPUR: Seramai 73,498 permohonan membabitkan kanak-kanak kohort usia enam tahun yang memasuki tahun satu, sementara 418,151 lagi daripada kohort usia tujuh tahun.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, ia mencatatkan jumlah keseluruhan seramai 491,649 permohonan pendaftaran Tahun Satu bagi Kalendar Akademik 2027 diterima setakat 30 September lalu.
Katanya, jumlah itu dianggarkan dengan kapasiti tambahan sehingga 108,470 murid dimana pendaftaran kanak-kanak kohort usia enam tahun ke Tahun Satu mulai 2027 adalah pilihan ibu bapa, manakala kemasukan kohort usia tujuh tahun kekal sebagai laluan utama sepanjang tempoh peralihan.
“Kementerian Pendidikan sudah mengambil kira keperluan dan implikasi pelbagai perkara seperti prasarana, sumber manusia dan persiapan lain bagi memastikan kesiapsiagaan susulan pelaksanaan dasar ini pada 2027,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Aminuddin Harun (PH-Port Dickson) mengenai jumlah kanak-kanak berusia enam tahun yang didaftarkan ke Tahun Satu bagi sesi persekolahan 2027, berbanding anggaran 439,744 orang berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) 2022.
Aminuddin turut bertanya mengenai kesiapsiagaan KPM dari segi guru, bilik darjah, prasarana dan peruntukan bagi menampung 471,504 kanak-kanak berusia tujuh tahun yang wajib memasuki Tahun Satu.
Kah Woh berkata, KPM melaksanakan perancangan prasarana secara menyeluruh bagi menampung pertambahan kemasukan murid, termasuk pembinaan bilik darjah tambahan, pengoptimuman premis, penukaran fungsi ruang sedia ada kepada bilik darjah dan pengoperasian sekolah dua sesi.
“KPM merancang penyediaan sebanyak 2,596 bilik darjah baharu menggunakan kaedah Sistem Binaan Berindustri (IBS) modular, membabitkan 838 sekolah yang akan disiapkan pada tahun ini.
“Bagaimanapun, mengambil kira pendaftaran kanak-kanak kohort usia enam tahun yang hanya seramai 73,498 murid, penyediaan prasarana pada masa ini membabitkan 677 pembinaan bilik darjah tambahan di 605 sekolah.
“Selain itu, 1,514 kerja penyelenggaraan dan naik taraf akan dilaksanakan,” katanya.
Daripada aspek kesiapsiagaan guru, Kah Woh berkata, KPM membuat perancangan keperluan guru berdasarkan unjuran enrolmen dan keperluan sebenar sekolah.
Justeru, seramai 3,150 guru Contract of Service (CoS) akan dilantik pada 7 Disember bagi membantu memastikan keperluan tenaga pengajar dipenuhi, terutama untuk menampung pertambahan enrolmen murid kohort enam tahun.
“KPM akan terus memantau perkembangan pendaftaran dan kesiapsiagaan setiap sekolah serta melaksanakan penyelarasan dari semasa ke semasa, termasuk dari aspek penempatan murid, keperluan guru, kapasiti bilik darjah dan prasarana.
“Langkah ini bagi memastikan pengoperasian Tahun Satu bagi Kalendar Akademik 2027 dapat dilaksanakan dengan lancar dan kondusif tanpa menjejaskan akses serta kualiti pendidikan murid,” katanya.-UTUSAN
The post 73,498 murid kohort enam tahun memasuki tahun satu tahun depan appeared first on Utusan Malaysia.






