75% syor RCI sudah dilaksanakan, kedudukan kewangan semakin pulih - Tabung Haji

LocalBusiness & Finance
29 Jul 2026 • 6:20 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

75% syor RCI sudah dilaksanakan, kedudukan kewangan semakin pulih - Tabung Haji Image from: 75% syor RCI sudah dilaksanakan, kedudukan kewangan semakin pulih - Tabung Haji liza29/07/2026 - 18:20 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 29 Julai – Lembaga Tabung Haji (TH) telah melaksanakan 75% daripada cadangan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung isu kedudukan kewangan, pengurusan pelaburan dan tadbir urus sebelum 2018 yang menyokong usaha pemulihan kewangan serta pengukuhan institusi tersebut.

 

TH berkata, pihaknya telah mengambil maklum terhadap syor RCI berhubung perkara yang berlaku sebelum 2018 dan kini memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh tadbir urus serta memastikan kepentingan pendeposit terus dilindungi.

 

“Sebanyak 75% daripada cadangan RCI telah diterima pakai dan dilaksanakan, manakala baki langkah penambahbaikan masih dalam proses pelaksanaan.

 

“Ini adalah sebahagian daripada usaha mempertingkatkan pengurusan institusi itu, termasuk memperkukuh tadbir urus serta kesejahteraan Tabung Haji sebagai sebuah badan pengurusan dana jemaah haji negara,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Kedudukan kewangan bertambah baik, agihan keuntungan tertinggi 8 tahun

TH turut menyatakan pihaknya telah membersihkan kedudukan kewangan, membina semula rizab serta mencatatkan prestasi keuntungan yang lebih baik selepas melalui proses pemulihan.

 

Hasil daripada langkah penambahbaikan itu, TH berjaya meningkatkan kadar agihan keuntungan kepada pendeposit kepada 3.5%, iaitu kadar tertinggi dalam tempoh lapan tahun.

 

Selain itu, TH berkata kos menunaikan ibadah haji kekal pada RM33,300 seorang untuk tiga tahun berturut-turut, sekali gus memastikan kebajikan bakal jemaah haji terus diberi perhatian.

 

TH menegaskan komitmennya untuk terus menjaga kepentingan pendeposit, meningkatkan keyakinan awam serta memastikan operasi institusi itu berjalan dengan penuh integriti dan tanggungjawab.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Laporan RCI Tabung Haji didedahkan kepada umum hari ini

 

Laporan RCI Tabung Haji didedahkan selepas bertahun menjadi perhatian

Sebelum ini, kerajaan bersetuju menyahklasifikasikan dan mendedahkan laporan RCI berkaitan pengurusan serta operasi Tabung Haji bagi tempoh 2014 hingga 2020.

 

Jurucakap kerajaan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, keputusan itu dibuat selepas Kabinet menerima taklimat daripada pengurusan tertinggi Tabung Haji serta meneliti dapatan laporan RCI tersebut.

 

Beliau berkata, laporan itu akan diumumkan kepada umum dan turut akan dibentangkan serta dibahaskan dalam sidang khas Dewan Rakyat pada masa akan datang.

 

RCI Tabung Haji ditubuhkan pada 2021 bagi menyiasat isu pengurusan dan operasi institusi itu susulan kebimbangan terhadap kedudukan kewangannya, termasuk dakwaan wujud jurang sekitar RM11 bilion antara aset dan liabiliti serta kemungkinan pelanggaran Akta Tabung Haji.

 

Penstrukturan semula bantu stabilkan kedudukan TH

Selepas Pilihan Raya Umum 2018, semakan kerajaan mendapati Tabung Haji mempunyai aset berjumlah RM70.3 bilion berbanding liabiliti sebanyak RM74.4 bilion pada 31 Disember 2017.

 

Kerajaan ketika itu turut membangkitkan persoalan mengenai keputusan meneruskan agihan keuntungan walaupun jumlah liabiliti melebihi aset institusi berkenaan.

 

Bagi memulihkan kedudukan kewangan TH, aset yang berprestasi rendah telah dipindahkan kepada Urusharta Jamaah Sdn Bhd, sebuah syarikat tujuan khas (SPV) milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan.

 

Langkah penstrukturan semula itu dilaksanakan bagi membantu TH memperkemas kedudukan kewangan, meningkatkan daya tahan institusi serta memastikan Tabung Haji terus memainkan peranannya dalam mengurus simpanan umat Islam bagi tujuan ibadah haji. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved