
Kota Kinabalu: Polis mengeluarkan 78 saman atas pelbagai kesalahan trafik dalam operasi penguatkuasaan motosikal bersepadu yang menyasarkan kegiatan samseng jalanan sepanjang hujung minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Shahrudin Mat Husain berkata, operasi yang dikenali sebagai Operasi Bersepadu Motosikal – Samseng Jalanan itu dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) daerah bersama balai-balai polis tempatan dari tengah malam hingga 5 pagi.
Operasi itu melibatkan dua pegawai kanan dan 38 anggota dengan sekatan jalan raya didirikan di empat lokasi iaitu Jalan Aeropod di Kapayan, Jalan Coastal, Jalan Tun Fuad Stephens berhampiran Masjid Bandaraya dan Jalan UMS berhampiran One Sulaman serta University Apartment.
“Dalam operasi itu, seorang lelaki turut ditahan kerana disyaki menyalahgunakan dadah di Jalan Coastal berhampiran Api-Api Centre. Lelaki itu dibawa ke balai polis untuk menjalani ujian air kencing awal dan kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Shahrudin berkata operasi itu bertujuan membanteras kegiatan samseng jalanan serta meningkatkan pematuhan terhadap undang-undang lalu lintas.
Beliau menambah operasi seumpama itu akan diteruskan setiap hujung minggu bagi mengekalkan ketenteraman awam dan keselamatan jalan raya.
Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah DCP Datuk Mohd Azhar Hamin menjalankan pemantauan trafik di daerah Papar, Penampang dan Kota Kinabalu bagi menilai aliran trafik serta keberkesanan penugasan anggota polis di lapangan.
Beliau menasihatkan pengguna jalan raya supaya merancang perjalanan lebih awal, mematuhi peraturan lalu lintas dan sentiasa mengamalkan pemanduan berhemah.

