78 sekolah di Sabah terjejas banjir: Raisin

27 Sep 2025 • 2:55 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Sebanyak 78 sekolah di Sabah, melibatkan 68 sekolah rendah dan 10 sekolah menengah, dikenal pasti terjejas akibat banjir yang melanda negeri itu baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS), Datuk Raisin Saidin berkata kerja pembersihan pasca banjir sedang berjalan dan turut melibatkan sukarelawan dari Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM).

“Kerja-kerja pembersihan kini mencapai tahap 50 peratus.

“Nilai keseluruhan kerosakan sedang diperhalusi dan kerja baik pulih akan segera dilaksanakan bagi memastikan pengoperasian pendidikan berjalan lancar.

“Sekolah yang terjejas melibatkan 68 sekolah rendah dan 10 sekolah menengah di beberapa daerah termasuk Sipitang (tiga), Tenom (tiga),Tambunan (dua) dan sebuah sekolah di Kota Belud,” katanya pada sidang media, Jumaat.

Raisin juga memaklumkan Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) telah memberi bantuan kewangan kepada 50 sekolah terjejas, manakala Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAMP) memberikan bantuan kecemasan RM300 kepada setiap murid yang layak.

Di samping itu, Yayasan Didik Negara (YDN) turut menyumbangkan kelengkapan sekolah, selain perlindungan insurans takaful disalurkan kepada mangsa yang terkorban akibat tanah runtuh.

Mengenai situasi di IPGM Kampus Gaya, beliau menjelaskan kejadian tanah runtuh di IPGM Kampus Gaya menjejaskan rumah pam air, laluan jalan dan beberapa blok akademik. Jabatan Air akan menanggung kos pembaikan rumah pam manakala kerja perlindungan cerun sedang dipercepatkan.

“Semua pelajar telah dihubungi bagi menjelaskan situasi sebenar di kampus dan menerangkan dengan jelas keperluan untuk mengadakan kuliah secara dalam talian berikutan keadaan kecemasan tersebut. Pelajar kini sedang mengikuti kuliah secara dalam talian.

“Bagi penyelesaian jangka pendek, pihak IPGM akan melakukan penyewaan premis dewan kuliah di kawasan berdekatan.

“Beberapa premis bangunan telah dikenal pasti untuk disewa bagi menggantikan kelas atau bilik kuliah di blok yang terkesan,” ujarnya.

Beliau menegaskan aspek keselamatan dan kesejahteraan pelajar terus diberi perhatian dengan peringatan berterusan kepada ibu bapa supaya tidak menghantar anak ke sekolah sekiranya keadaan cuaca tidak menentu.

Pada 18 Sept lepas, Kementerian Pendidikan mengarahkan pengosongan segera bangunan kuarters berhampiran lokasi tanah runtuh di institut berkenaan.

Kementerian juga akan mengemukakan permohonan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi pembinaan blok asrama baharu di IPGM Kampus Gaya.