
Kota Kinabalu: Kelab Rotari Kota Kinabalu Pearl (RCKK Pearl) mengekalkan komitmen mereka untuk membantu rakyat Sabah khususnya yang terjejas akibat bencana baru-baru ini melalui program khidmat masyarakat yang dilaksanakan pada 19 dan 20 September lalu.
Dalam misi itu, Presidennya Datin Jeanette Tambakau berkata kelab itu bersama Kelab Rotari Penampang (kelab utama), Kelab Rotari Kota Kinabalu South dan Kelab Rotari Kota Kinabalu Likas Bay berganding bahu untuk memberikan bantuan segera kepada mereka yang memerlukan.
Di bawah pimpinan Rotary District 3310, Jeanette berkata kelab-kelab yang terlibat dalam khidmat kemanusiaan ini membantu Kg Sagumou Madsiang, Kg Tindai, Kg Kaambazan, Kg Boliga dan Kg Sarupung – antara yang paling teruk terjejas akibat bencana tersebut.
“Apabila Sabah dilanda banjir besar dan tanah runtuh, ramai keluarga di Penampang terpaksa hidup tanpa makanan, air bersih dan tempat tinggal yang selamat.
“Tanah runtuh merosakkan rumah dan menutup jalan-jalan kampung sekali gus menjadikan akses bantuan lebih mendesak,” katanya.
Pada 19 dan 20 September lalu, sukarelawan bekerja tanpa mengenal penat lelah untuk menyampaikan sebanyak 400 pek makanan asas ke kampung-kampung terjejas.
Katanya lagi, usaha kerjasama ini bukan sahaja memberi bantuan segera, tetapi juga mengangkat semangat keluarga yang terkesan — membuktikan bahawa walaupun berdepan kemusnahan, perpaduan mampu membina semula kehidupan dan mengembalikan harapan.
“Inilah semangat sebenar Rotary. Dengan bersatu sebagai satu keluarga Rotary, kita bukan sahaja menyampaikan makanan tetapi juga harapan dan keyakinan kepada mereka yang telah kehilangan begitu banyak,” tambahnya.
Bagi pihak RCKK Pearl, Jeanette merakamkan penghargaan kepada semua anggota kelab Rotari, sukarelawan, penderma dan penyokong serta Servay Supermarket dan Sabah Credit Corporation – sambil menyatakan misi ini dapat direalisasikan hasil perpaduan pelbagai pihak.
Bagaimanapun, tegasnya, masih banyak yang perlu dilakukan kerana terdapat lebih banyak kampung dan keluarga yang amat memerlukan bantuan.
Beliau berharap orang ramai akan bersama-sama kelab dalam misi membantu masyarakat, khususnya mereka yang terjejas akibat bencana baru-baru ini.
Mereka yang berminat untuk menyalurkan sumbangan atau menjadi sukarelawan dalam misi bantuan seterusnya boleh menghubungi Jeanette di 019-880 8864.


