
KUALA LUMPUR: Sebanyak 781 sekolah diluluskan di bawah program Sekolah Angkat Madani tahun ini dengan RM25 juta disalurkan setakat ini bagi pelaksanaan 262 sekolah oleh agensi kerajaan.
Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, baki 519 sekolah lagi dilaksanakan oleh sektor korporat menerusi tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Beliau berkata, pelaksanaan program itu bertujuan meningkatkan kemudahan dan kesejahteraan komuniti setempat menerusi kerjasama kerajaan dengan sektor korporat.
“Sejak diperkenalkan pada tahun 2024, sebanyak 43 buah kampung telah dilibatkan, diikuti peningkatan kepada 210 buah kampung pada tahun 2025. Sehingga Oktober 2026, sebanyak 221 buah kampung telah diluluskan, mencerminkan kesungguhan kerajaan dalam meluas manfaat pembangunan kepada komuniti di seluruh negara.
“Pada tahun 2026 sahaja, sebanyak RM104 juta telah disalurkan bagi pelaksanaan projek di bawah kendalian pengurusan tertinggi kerajaan.
“Bagi Sekolah Angkat Madani, sebanyak 781 buah sekolah telah diluluskan pada tahun 2026, melibatkan 262 buah sekolah yang dilaksanakan oleh agensi kerajaan, dengan penyaluran peruntukan sebanyak RM25 juta setakat ini. Manakala 519 buah sekolah lagi dilaksanakan oleh sektor korporat melalui tanggungjawab sosial korporat (CSR),” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Dr. Richard Rapu @ Aman anak Begri (GPS-Betong) yang meminta menyatakan pecahan terperinci peruntukan RM50 juta dan RM200 juta yang dibelanjakan bagi program Sekolah serta Kampung Angkat Madani demi memastikan ketelusan impak kewangan dan bilangan sebenar penerima manfaat PPR serta kaedah pemantauan rapi bagi mengelakkan sebarang ketirisan dana.
Tambah Chin Tong, program Sekolah Angkat MADANI dan Kampung Angkat MADANI diperkenalkan bagi membolehkan pengurusan tertinggi kementerian dan agensi, termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), memahami isu rakyat di peringkat akar umbi.
“Program Kampung Angkat Madani dan Sekolah Angkat Madani ini telah dimulakan dengan hasrat supaya pengurusan tertinggi kementerian dan agensi, dan juga GLC serta GLIC, memahami isu rakyat di peringkat Akar umbi , serta mencari penyelesaian yang berkesan termasuk mengurangkan birokrasi dan mempercepat penyampaian perkhidmatan kerajaan.
“Inisiatif ini juga bertujuan merapatkan jurang antara kerajaan dengan rakyat melalui pendekatan turun padang dan pelaksanaan projek yang berasaskan keperluan sebenar komuniti setempat.
“Berdasarkan pengalaman pelaksanaan projek terdahulu, kerajaan telah melaksanakan beberapa penambahbaikan bagi memastikan penyampaian bantuan yang lebih cekap, bersasar, dan memenuhi keperluan komuniti setempat,” katanya.
Mengenai penerima manfaat dalam kalangan penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR), Chin Tong berkata, sebuah PPR diluluskan di bawah inisiatif itu pada 2026.
Bagaimanapun, katanya, seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2027, pelaksanaan inisiatif komuniti Angkat MADANI akan memberikan tumpuan kepada komuniti PPR bagi memperluas manfaat program kepada penduduk yang memerlukan. – UTUSAN
The post 781 sekolah diluluskan di bawah Sekolah Angkat Madani tahun ini appeared first on Utusan Malaysia.






