
KUALA LUMPUR – Sebanyak RM104 juta disalurkan bagi pelaksanaan projek Kampung Angkat MADANI pada tahun ini, melibatkan 221 kampung yang diluluskan sehingga Oktober 2026.
Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, pelaksanaan inisiatif itu diteruskan menerusi Belanjawan 2026 bagi meningkatkan kemudahan infrastruktur dan kesejahteraan komuniti setempat.
Beliau berkata, jumlah kampung yang terlibat meningkat daripada 43 buah pada 2024 kepada 210 buah pada 2025 sebelum mencapai 221 buah kampung yang diluluskan setakat Oktober tahun ini.
“Bagi Sekolah Angkat Madani pula, sebanyak 781 sekolah diluluskan pada 2026, dengan 262 sekolah dilaksanakan oleh agensi kerajaan menerusi penyaluran peruntukan RM25 juta setakat ini, manakala 519 sekolah lagi dilaksanakan sektor korporat melalui tanggungjawab sosial korporat (CSR).
“Kedua-dua inisiatif berkenaan bertujuan memastikan pengurusan tertinggi kementerian dan agensi memahami isu rakyat di peringkat akar umbi serta mencari penyelesaian berkesan, termasuk mengurangkan birokrasi dan mempercepat penyampaian perkhidmatan kerajaan,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Dr. Richard Rapu @ Aman Anak Begri (GPS-Betong) mengenai pecahan terperinci peruntukan RM50 juta dan RM200 juta yang dibelanjakan bagi program Sekolah serta Kampung Angkat Madani.
Chin Tong berkata, bagi memastikan pelaksanaan lebih cekap dan bersasar, kerajaan turut menambah baik proses perolehan untuk mempercepat pelaksanaan projek, selain menetapkan tiada pertindihan pemilihan kampung dalam kawasan Parlimen yang sama.
“Bagi kawasan Parlimen Betong, sebuah Kampung Angkat Madani diluluskan pada 2025, iaitu Rumah Panjang Nanga Gayau yang dilaksanakan oleh Jabatan Biokeselamatan, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, dengan peruntukan sebanyak RM1 juta.
“Dalam pada itu, kerajaan turut menyokong pembangunan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menerusi kerjasama yang memberi peluang kepada pelajar melaksanakan projek berskala kecil secara langsung, sekali gus membantu meningkatkan kemudahan dan kesejahteraan komuniti setempat,” katanya.
Berhubung Projek Perumahan Rakyat (PPR), kementerian memaklumkan sebuah PPR diluluskan di bawah inisiatif berkenaan pada 2026.
“Bagaimanapun, pelaksanaan inisiatif Komuniti Angkat Madani yang diumumkan menerusi Belanjawan 2027 akan memberi tumpuan kepada komuniti PPR bagi memperluas manfaat program kepada penduduk yang memerlukan.
“Bagi memastikan projek dilaksanakan mengikut perancangan, setiap agensi diwajibkan mengemukakan laporan pemantauan secara berkala kepada Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri,” katanya.
Katanya mekanisme pelaporan itu bertujuan memastikan pelaksanaan projek dipantau secara berterusan serta memberikan impak mampan kepada komuniti setempat.- KOSMO! ONLINE
The post RM104 juta disalur kepada 221 Kampung Angkat Madani tahun ini appeared first on Kosmo Online.






