MARANG – Sinar kesyukuran jelas terpancar pada wajah 79 prospek Penjara Marang apabila dipilih menerima 'hadiah' Aidilfitri lebih awal menerusi Program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) Ihsan Madani: Kepulangan Yang Dinanti, di sini pada Selasa.
Program tersebut menyaksikan seramai 17 prospek dibenarkan pulang ke pangkuan keluarga masing-masing, manakala 62 lagi diserahkan kepada majikan untuk memulakan pekerjaan.
Timbalan Pengarah Penjara Marang, Penguasa Penjara Fandika Safruddin berkata, inisiatif di bawah Jabatan Penjara Malaysia itu bertujuan memberi peluang kepada prospek menjalani baki hukuman di luar tembok penjara.
**media[3466138]**
"Program ini dilaksanakan setiap tahun terutama menjelang musim perayaan bagi memberi ruang kepada mereka menjalani pemulihan bersama masyarakat atau majikan.
"Kebanyakan yang dipilih melibatkan kesalahan ringan termasuk kes dadah dan mereka yang menjalani tempoh hukuman singkat. Harapan kita agar mereka dapat menyesuaikan diri dan tidak kembali melakukan kesalahan lalu," katanya ketika ditemui pada majlis pelepasan tersebut.
Suasana hiba turut menyelubungi pekarangan penjara apabila waris hadir menjemput prospek yang dibebaskan.
Ayu (nama samaran) meluahkan rasa syukur kerana doanya agar suami dapat pulang sebelum raya akhirnya termakbul, ditambah pula suaminya menghidap penyakit gout.
"Setiap hari saya tunggu berita kepulangan ini. Alhamdulillah, pihak penjara ada datang ke rumah sebulan lalu untuk urusan maklumat dan semalam saya terima panggilan pengesahan. Syukur sangat kami dapat beraya bersama tahun ini," katanya.
**media[3466132]**
Sementara itu, bagi Abdul (nama samaran), 32, yang menjalani hukuman atas kesalahan menceroboh, peluang kedua ini akan digunakan sebaik mungkin untuk bekerja dan membantu keluarga.
"Saya benar-benar hargai peluang ini kerana tidak semua orang berpeluang bebas awal. Saya sudah serik dan mahu mulakan hidup baharu. Saya juga bersyukur kerana sudah ada pekerjaan yang menanti di sebuah restoran," katanya.
Selain itu, dua prospek lain yang turut dilepaskan dan terlibat dalam kes dadah masing-masing menzahirkan kesyukuran atas peluang kedua yang diperoleh itu.
