79 Banduan Penjara Marang Terima Pelepasan PBSL Sempena Aidilfitri

LocalPolitics
17 Mar 2026 • 5:43 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

79 Banduan Penjara Marang Terima Pelepasan PBSL Sempena Aidilfitri

MARANG, 17 Mac (Bernama) -- Sebanyak 79 banduan di Penjara Marang di sini menerima sinar kebahagiaan menerusi program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) MADANI Yakin (Kepulangan Yang Dinanti) sempena Aidilfitri.

Seorang banduan berusia 42 tahun dari Kampung Raja, Tepoh, dekat Kuala Nerus berkata peluang dibebaskan lebih awal daripada tempoh hukuman tidak akan disia-siakan, malah akan digunakan untuk bermuhasabah serta mendekatkan diri dengan Ilahi.

Dia yang pertama kali dimasukkan ke penjara kerana kesalahan dadah mengakui kehidupan selama lebih lima bulan di dalam tirai besi menjadikan dia lebih menghargai masa dan kasih sayang keluarga.

“Kalau ikutkan, saya sepatutnya dibebaskan bulan depan tetapi semalam pihak penjara memaklumkan yang saya dibenarkan pulang ke pangkuan keluarga lebih awal untuk menyambut Aidilfitri.

“Hanya Tuhan yang tahu betapa gembiranya hati saya apabila dapat pulang ke pangkuan isteri dan tiga anak. Cukuplah lima bulan kami berpisah. Tak tertanggung rasa rindu kepada mereka,” katanya ketika ditemui pada program PBSL MADANI Yakin (Kepulangan Yang Dinanti) di Penjara Marang hari ini.

Baca juga:

Seorang lagi banduan berusia 43 tahun menganggap pengalaman selama lebih setahun dalam penjara dengan dua sebatan menginsafkannya dan lebih menghargai pengorbanan serta kasih sayang keluarga.

Justeru, dia berazam untuk meninggalkan semua perbuatan buruk dan menjadikan Aidilfitri kali ini sebagai permulaan hidup baharu.

“Pembebasan awal ini adalah peluang keemasan yang bukan semua banduan dapat rasa.

“Syukur kerana saya dapat meraikan hari raya bersama keluarga. Alhamdulillah mereka dapat memaafkan dan terima saya kembali. Hari ini ibu dan abang datang untuk jemput saya pulang ke rumah di Padang Midin, Kuala Terengganu,” katanya, yang dipenjara atas kesalahan dadah dan sepatutnya dibebaskan pada 6 November tahun ini.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Penjara Marang Fandika Safruddin berkata program itu memberi peluang kepada banduan menjalani baki hukuman di luar tembok penjara, sama ada bersama keluarga atau melalui penempatan kerja.

Beliau berkata pihaknya berharap agar banduan yang dibebaskan dapat pulih sepenuhnya dan menjadi insan lebih produktif serta berguna kepada masyarakat.

Fandika berkata kebanyakan banduan yang dibebaskan adalah pesalah dadah yang dikenakan hukuman penjara kurang tiga tahun.

“Sebanyak 17 prospek (banduan) dibebaskan ke pangkuan keluarga manakala 62 lagi ditempatkan di pelbagai sektor pekerjaan termasuk kedai makan, tempat cuci kereta dan nurseri.

“Penempatan kerja ini juga bagi membolehkan mereka kembali menyesuaikan diri dalam komuniti selepas sekian lama terasing dan terkurung dalam tirai besi,” katanya.