8 Bulan Tak Keluar Rumah, BCL Alami Anxiety Sebelum Datang Malaysia Terkenang Ashraf

11 Nov 2022 • 12:25 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Setiap hari wajah Allahyarham Ashraf Sinclair masih bermain di fikiran Bunga Citra Lestari (BCL). - Gambar Instagram Bclsinclair

Dua tahun sudah berlalu sejak pemergian suami, namun setiap hari wajah Allahyarham Ashraf Sinclair akan bermain dalam fikiran Bunga Citra Lestari (BCL).

Penyanyi jelita itu mengakui mengumpul kekuatan untuk menjejakkan kaki ke Malaysia, tempat lahir suaminya kerana banyak memori antara dia dan Ashraf terakam di sini.

Ketika ditemui Getaran di majlis sidang media BCL Bloom Intimate Concert, Bunga dilihat tenang bercakap tentang kenangan bersama-sama suaminya tambahan pula sehari sebelum ke sini merupakan tarikh sambutan ulangtahun perkahwinannya dengan Ashraf.

image is not available

“Saya sempat mengalami anxiety dan gemuruh untuk kembali ke Malaysia kerana banyak kenangan saya dan Ashraf di sini sejak kami mula berkenalan pada tahun 2007. Perasaan ke Malaysia bukan seperti pergi ke sebuah negara lain. 

“Tapi Malaysia adalah rumah kedua yang ada banyak memori. Semalam semasa di lapangan terbang juga sempat teringat Ashraf yang akan lambai tangan bila saya turun ke Malaysia sewaktu bercinta. 

“Bukan itu sahaja, teringat juga mesin ATM, kedai makan yang selalu kami pergi setiap kali sampai ke lapangan terbang,” ceritanya.

image is not available

Pelantun lagu Wanita Terbahagia itu mengakui tidak mudah untuknya mengharungi hidup membesarkan anaknya, Noah tanpa Ashraf di sisi. 

Bahkan, dia mengambil masa lapan bulan menangis, tidak bertemu orang dan menghadiri sesi terapi. 

“Di Jakarta, saya survived di rumah. Setiap sudut dipenuhi kenangan bersama Ashraf. Barang-barang di rumah saya juga kebanyakannya masih sama cuma di tingkat atas ada sedikit yang berubah. Tapi foto Ashraf, barang-barangnya dan bilik tidur kami masih sama.

“Lapan bulan saya tidak keluar rumah berjumpa sesiapa. Menangis setiap hari. Namun hari demi hari saya semakin okay. Jadi memang memerlukan kekuatan untuk kembali ke Malaysia.

“Selain diri sendiri, yang menjadi sumber kekuatan tentulah anak saya. Untuk dia menerima apa yang terjadi, saya harus kuat. Saya harus bahagia kerana perjalanan hidupnya masih panjang,” katanya.

image is not available

Malah, konsert BCL juga akan menjadi sangat istimewa kerana ia juga merupakan hasrat arwah Ashraf yang sempat dibisikkan kepada penganjur sebelum menghembuskan nafas terakhir. 

“Blossom dipilih sebagai nama konsert ini sebagai pembuktian bahawa setiap orang yang pernah dilanda badai akan bangkit lagi. 

“Ia tidak hanya kekuatan mengharungi, tetapi menerima apa yang terjadi. Kita boleh bahagia lagi walaupun bukan dengan nama yang sama,” katanya. 

Bunga bakal menyanyikan 25 lagu dengan iringan band, penari dan tetamu jemputan yang dirahsiakan. Konsert ini bakal berlangsung pada 27 Januari di Dewan Plenari, KLCC. Tiket sudah boleh dibeli menerusi www.ticket2u.com.my. - Getaran, 11 November 2022