
8 Negeri, 1 Wilayah Persekutuan Diramal Hujan Lebat Hingga Tengah Hari Ini
Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di beberapa negeri termasuk Wilayah Persekutuan hingga jam 12 tengah hari ini.
Menurut METMalaysia, negeri yang terlibat adalah Kedah, Pulau Pinang, Perak, Pahang, Selangor, Melaka, Johor, Sabah dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Difahamkan, seluruh kawasan di negeri Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur diramal mengalami cuaca buruk tersebut.
“Di negeri Kedah, daerah yang terlibat adalah Langkawi, Yan, Kuala Muda, Kulim dan Bandar Baharu. Manakala di Perak pula di daerah Kerian, Larut, Matang Dan Selama, Manjung, Perak Tengah, Bagan Datuk dan Hilir Perak.
“Sementara itu di Pahang hanya dua kawasan iaitu Kuantan dan Pekan dijangka hujan. Bagi daerah di Selangor pula melibatkan kawasan Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang, Gombak, Petaling dan Hulu Langat.
“Di Melaka daerah yang terlibat adalah Melaka Tengah dan Jasin manakala Johor di kawasan Tangkak, Muar, Batu Pahat, Kluang, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru.
“Beralih ke Sabah, hanya kawasan Kudat sahaja yang diramal mengalami cuaca buruk itu,” maklum METMalaysia lagi.
Sehubungan itu, penduduk di kawasan yang dinyatakan dinasihatkan supaya berwaspada dengan perubahan cuaca yang mendadak ini dan memastikan keselamatan diri serta keluarga terjamin.
Orang ramai juga dinasihatkan agar mengelakkan aktiviti luar dan sentiasa mengikuti perkembangan terkini mengenai amaran cuaca daripada pihak METMalaysia melalui saluran rasmi.
Langkah berjaga-jaga perlu diambil bagi mengurangkan risiko sebarang kejadian tidak diingini akibat cuaca buruk yang diramalkan melanda kawasan-kawasan tersebut.
Sumber: Jabatan Meteorologi Malaysia
The post 8 Negeri, 1 Wilayah Persekutuan Diramal Hujan Lebat Hingga Tengah Hari Ini appeared first on Siakap Keli.


