8 suspek termasuk OKU rompak RM500,000 diberkas

LocalPolitics
5 Mar 2026 • 2:31 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Ab Rahaman (dua dari kanan) menunjukkan pistol digunakan suspek dalam kes rompakan di Pasir Gudang.

JOHOR BAHRU - Lapan individu termasuk seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) yang lumpuh separuh badan ditahan polis selepas dipercayai terbabit dalam kes rompakan wang tunai RM500,000 milik seorang pembekal pekerja asing di kawasan Pusat Perdagangan Pasir Gudang di sini, 24 Februari lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 12 tengah hari apabila mangsa lelaki warga Pakistan berusia 45 tahun mengeluarkan wang tunai berkenaan dari sebuah bank dengan ditemani isterinya.

"Ketika mangsa menghampiri kenderaan yang diparkir berhampiran, dua suspek tidak dikenali menghampirinya sebelum seorang daripada mereka mengacukan pistol dan merampas dua beg berisi wang tunai berkenaan.

“Mangsa yang juga pembekal pekerja asing mengeluarkan wang itu untuk membayar gaji pekerja sebelum ia dilarikan suspek,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor pada Khamis.

Beliau berkata, susulan laporan yang diterima kira-kira jam 1 tengah hari hari sama, sepasukan anggota daripada Bahagian D9 Jabatan Siasatan Jenayah IPK Johor bersama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam melancarkan operasi memburu suspek.

Menurutnya, polis berjaya menahan tujuh lelaki dan seorang wanita warga tempatan berusia antara 23 hingga 53 tahun di beberapa lokasi di Seri Alam dan Tampoi dalam tempoh kurang 24 jam selepas kejadian.

Katanya, siasatan mendapati dua lelaki berusia 30 dan 32 tahun dipercayai menjadi dalang utama rompakan itu.

“Seorang suspek lelaki OKU yang berkerusi roda dan lumpuh separuh badan pula dipercayai berperanan menyalurkan maklumat dalaman berkaitan pergerakan mangsa.

“Hasil semakan juga mendapati dua daripada suspek mempunyai rekod lampau membabitkan kes jenayah dan dadah,” katanya.

Ab Rahaman berkata, semua suspek direman sehingga 10 Mac bagi membantu siasatan.

Dalam operasi itu, polis turut merampas sebuah Toyota Hilux, Perodua Myvi, dua nombor pendaftaran kenderaan palsu, dua beg berwarna kelabu, sebuah topi, pelitup muka hitam serta sepasang sarung tangan putih.

"Polis juga merampas wang tunai termasuk RM20,700 dalam not RM10 dan lapan bungkusan plastik lutsinar mengandungi wang kertas RM50 selain menyita RM65,830 daripada akaun syarikat milik seorang suspek yang sempat mendepositkan wang berkenaan melalui mesin deposit bank.

“Jumlah keseluruhan wang tunai yang berjaya dirampas ialah RM487,350 manakala bakinya dipercayai sudah dibelanjakan suspek bagi tujuan peribadi termasuk penginapan,” katanya.

Menurutnya, enam suspek akan dituduh di mahkamah di bawah Seksyen 399 Kanun Keseksaan, Seksyen 395 Kanun Keseksaan, Seksyen 120B Kanun Keseksaan serta Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 kerana memiliki senjata tiruan.

Pendakwaan dijangka dilakukan Jumaat manakala dua lagi individu akan dibebaskan dan dijadikan saksi pendakwaan dengan bon mengikut Seksyen 118 Kanun Tatacara Jenayah.