
Sejak memenangi saingan tiga penjuru menentang Khairy Jamaluddin dan Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah pada 2018, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak lagi berdepan sebarang cabaran yang boleh menggugat kedudukan beliau sebagai Presiden UMNO.
Dan hari ini selepas lapan tahun, persoalan utamanya bukan lagi tentang siapa yang berani mencabar, sebaliknya sama ada ahli parti benar-benar diberikan ruang untuk bersuara.
Titik nadir kepada kemelut ini berlaku pada Perhimpunan Agung UMNO 2022.
Ketika itu, perwakilan meluluskan usul kontroversi agar jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan parti tahun berikutnya.
Langkah tersebut mendapat lampu hijau daripada Pendaftaran Pertubuhan (RoS), sekali gus membolehkan Zahid dan Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan, terus kekal di puncak kuasa tanpa perlu melangkah masuk ke gelanggang pertandingan.
Ada perbezaan ketara sebenarnya antara 'menang tanpa bertanding' dengan 'pintu gelanggang ditutup' secara sengaja.
Apabila seorang penyandang menang tanpa bertanding kerana tiada pencabar yang muncul, ruang itu sebenarnya tetap terbuka luas. Ahli parti sentiasa mempunyai hak mutlak untuk mengetengahkan calon alternatif sekiranya mahu.
Namun, apa yang berlaku dalam pemilihan UMNO 2023 jauh berbeza. Kepimpinan parti terlebih dahulu 'menutup pintu' sebelum sempat sesiapa pun memasukkan borang pencalonan.
Menurut sejarah, kemenangan Zahid pada 2018 berlaku dalam suasana yang sihat pasca kekalahan sulung UMNO pada pilihan raya umum.
Beliau ketika itu meraih sokongan 93 bahagian, manakala Khairy menerima 51 dan Tengku Razaleigh 23. Ahli bebas memilih.
Malangnya, lima tahun kemudian, landskap itu berubah menjadi kaku apabila usul tanpa pertandingan diluluskan pada 14 Januari 2023.
Ironinya, keputusan tersebut mendahului retorik Zahid sendiri yang sebelum itu sempat mendakwa, beliau kononnya bersedia berdepan sesiapa sahaja dan perwakilan wajib diberi hak memilih pemimpin mereka.
Pakar berpendapat, episod 2023 itu sebagai satu titik sejarah hitam yang menyaksikan usul menyekat pertandingan bagi dua jawatan tertinggi diluluskan secara rasmi melalui usul perwakilan.
Jika diteliti landskap politik semasa, penyandang menang tanpa pencabar bukanlah satu fenomena asing.
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang misalnya, kekal menerajui parti tanpa dicabar termasuk pada pemilihan 2025.
Begitu juga Datuk Seri Anwar Ibrahim di PKR dan Tan Sri Muhyiddin Yassin di Bersatu yang turut kekal menerajui parti masing-masing tanpa pencabar.
Namun, perbezaannya sangat ketara. Di PAS, PKR, dan Bersatu, pintu pencalonan dibuka seluas-luasnya secara sah; tiada halangan perlembagaan atau usul khas yang 'mengharamkan' pertandingan.
Sebaliknya di UMNO 2023, perwakilan sendiri diarah mematikan sebarang usaha pertandingan sebelum ia bermula.
Walaupun MIC pernah melakukan langkah serupa pada 2023 untuk pemilihan mereka, ia tetap tidak mampu membersihkan naratif bahawa demokrasi dalaman UMNO sedang dimatikan secara sistematik.
Alasan Mohamad bahawa pertandingan jawatan utama dikhuatiri meretakkan lagi parti pasca kekalahan pilihan raya hanyalah sebuah alasan rapuh.
Ia meletakkan perpaduan palsu sebagai keutamaan demi melindungi kelompok elit, sementara hak akar umbi di bawah terus dinafikan.
Dengan pindaan perlembagaan parti yang membolehkan pemilihan ditangguhkan mengikut keselesaan kepimpinan, Zahid mengesahkan bahawa pemilihan UMNO seterusnya hanya akan diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-16.
Apabila tiba masanya kelak, persoalan yang sama pasti kedengaran lagi: adakah kerusi presiden benar-benar terbuka untuk dicabar, atau sejarah lapan tahun lalu akan terus berulang?
Bagi sebuah parti yang pernah menjadi tonggak dominan negara, jawapan kepada teka-teki ini akan menentukan sama ada UMNO sebuah parti yang meraikan suara akar umbi, atau sekadar sebuah entiti eksklusif demi kelangsungan segelintir individu di takhta kuasa.
Apa yang pasti, demokrasi yang ‘melayu’ dalam UMNO tidak mudah untuk disuburkan semula, jika sang pemegang kuasa terus beraja. - Getaran, 27 September 2026

