80% asnaf yang menyertai program HDC–AFFIN Islamic dapat kerja atau penempatan industri

LocalBusiness & Finance
27 Oct 2026 • 5:15 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

80% asnaf yang menyertai program HDC–AFFIN Islamic dapat kerja atau penempatan industri Image from: 80% asnaf yang menyertai program HDC–AFFIN Islamic dapat kerja atau penempatan industri johardy27/10/2026 - 17:15 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 27 Okt - Sebanyak 80% daripada 20 peserta asnaf dalam program pembangunan bakat halal yang dilaksanakan bersama Halal Development Corporation Berhad (HDC) dan Affin Islamic Bank Berhad telah memperoleh pekerjaan atau sedang menjalani penempatan industri setakat 27 Oktober 2026.

 

HDC dalam kenyataan hari ini memaklumkan 10% lagi peserta melanjutkan pengajian, mencerminkan peranan program berkenaan dalam menghubungkan pembangunan kemahiran dengan peluang pekerjaan dan pendidikan.

 

Pencapaian itu diumumkan pada Majlis Graduasi Pemerkasaan Komuniti Halal di Menara AFFIN @ TRX, yang menandakan tamatnya program pelaburan komuniti bertemakan pembangunan bakat halal untuk masa depan mampan.

 

Dilancarkan pada Januari 2026, program berkenaan menggabungkan latihan halal profesional, pembangunan kebolehpasaran dan pendedahan praktikal bagi menyediakan peserta untuk kerjaya dalam industri halal Malaysia.

 

Menerusi Program Eksekutif Halal Bertauliah (CHEP) dan penempatan industri yang dipermudah HDC di bawah Halal Integrated Platform (HIP), peserta memperoleh pengetahuan asas pengurusan dan jaminan halal serta pengalaman di tempat kerja, dengan syarikat terlibat merangkumi sektor makanan dan minuman, kosmetik halal, perundingan halal serta penjagaan kesihatan.

 

Bina laluan daripada penerima kepada pembayar zakat

Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Hanisofian Alias berkata, pembangunan tenaga kerja halal berkemahiran memerlukan latihan yang sejajar dengan keperluan industri serta sokongan majikan.

 

“Program ini menggabungkan latihan dan pendedahan industri bagi membantu peserta bersedia memasuki alam pekerjaan, di samping memperkukuh bekalan bakat yang diperlukan industri,” katanya.

 

Menurut beliau, pendekatan itu menyokong aspirasi Pelan Induk Industri Halal 2030 (HIMP 2030), khususnya Teras Strategik 3 yang menumpukan pembangunan lebih ramai pakar industri halal bagi memenuhi keperluan global.

 

Ketua Pegawai Eksekutif AFFIN Islamic, Dato’ Paduka Syed Mashafuddin Syed Badarudin berkata, menerusi pelaburan dalam kemahiran, kebolehpasaran dan akses kepada peluang kerjaya, pihaknya berhasrat membantu peserta beralih daripada penerima zakat kepada pembayar zakat pada masa depan.

 

Program itu disokong menerusi Dana Wakalah AFFIN Islamic, manakala HDC dan bank berkenaan menyatakan komitmen untuk terus menyokong usaha memperkukuh hubungan antara pembangunan bakat dengan keperluan industri halal. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved