
KOTA KINABALU – Sebanyak 80 peratus daripada 1.14 juta ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Sabah mempunyai simpanan kurang daripada RM50,000, dengan golongan pekerja sektor tidak formal antara yang berdepan cabaran untuk membuat caruman secara konsisten.
Pengarah KWSP Wilayah Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Mohd. Fadil Sarehan berkata, keadaan itu perlu diberi perhatian serius bagi memastikan rakyat Sabah mempunyai simpanan yang mencukupi dan selesa selepas tidak lagi bekerja.
Beliau berkata berbeza dengan pekerja sektor formal yang mempunyai caruman bulanan secara konsisten, golongan sektor tidak formal tidak mempunyai pendapatan tetap untuk membuat caruman kepada KWSP.
“Kalau kita lihat dari segi sektor formal, kita tidak ada kerisauan kerana mereka ada caruman bulanan. Tetapi yang kita risau ialah sektor informal seperti nelayan dan petani yang tidak konsisten menyimpan di KWSP.
“Oleh itu, peranan kementerian, media dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) penting untuk sentiasa menguar-uarkan kepada golongan ini supaya meningkatkan simpanan mereka,” katanya kepada pemberita selepas program Libat Urus Media Negeri dan Pihak Berkepentingan bersama KWSP di sini hari ini.
Beliau berkata usaha meningkatkan jumlah simpanan persaraan perlu dilaksanakan secara menyeluruh supaya rakyat Sabah bukan sahaja mempunyai simpanan yang mencukupi, malah mampu meneruskan kehidupan dengan lebih selesa selepas bersara.
Dalam pada itu, beliau berkata tahap kesedaran dalam kalangan ahli KWSP di Sabah mengenai kepentingan membuat penamaan waris juga masih rendah.
Mohd Fadil berkata daripada keseluruhan ahli KWSP di Sabah itu, hanya sekitar 20 peratus telah membuat penamaan dan ketiadaan penama menyebabkan waris menghadapi kesukaran sekiranya ahli meninggal dunia.
“Proses penamaan kini boleh dilakukan secara dalam talian untuk memudahkan ahli memastikan simpanan mereka dapat diuruskan dengan lebih baik selepas kematian,” katanya yang turut menyeru ahli
KWSP beragama Islam agar menukar simpanan daripada konvensional kepada syariah sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial dan agama.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri atas sokongan diberikan dari semasa ke semasa dalam membantu meningkatkan simpanan rakyat, selain menghargai peranan media dalam menyampaikan maklumat dan kempen kesedaran KWSP kepada masyarakat, khususnya di kawasan luar bandar. – Bernama
The post 80 peratus pencarum KWSP di Sabah ada kurang RM50,000 appeared first on Kosmo Online.





