Apa berita gembira pencarum KWSP dalam bajet 2027

LocalPersonal Finance
5 Oct 2026 • 8:30 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Apa berita gembira pencarum KWSP dalam bajet 2027

KETIKA rakyat menanti pembentangan Bajet 2027 pada 9 Oktober ini, berlegar-legar di media sosial berkenaan harapan yang mahukan ‘berita gembira’ mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Persoalan itu pastinya menarik perhatian pencarum menjelang pembentangan Bajet 2027 pada 9 Oktober ini ekoran tekanan kos sara hidup yang saban hari semakin meningkat.

Bagi mereka yang bergaji besar atau rezeki lebih, kos sara hidup ketika ini tidak menjadi beban buat mereka, tetapi bayangkan golongan yang cukup-cukup makan.

Terutamanya bagi golongan pertengahan seperti M4O, bantuan kerajaan tidak dapat, cukai kena potong. Itu belum lagi jika anak ramai dan tinggal di bandar-bandar besar.

Ini kerana jika dilihat, kos seperti makanan, perumahan, pengangkutan, pendidikan, kesihatan dan penjagaan anak terus menjadi antara komponen utama yang mempengaruhi perbelanjaan bulanan isi rumah.

Namun, di sebalik harapan terhadap sebarang pengumuman berkaitan KWSP, terdapat persoalan lebih besar yang perlu diberi perhatian iaitu mengapa sebahagian rakyat masih merasakan simpanan persaraan perlu digunakan untuk menampung keperluan semasa.

Pengeluaran simpanan KWSP bukan jalan penyelesaian untuk ‘menutup’ peningkatan kos sara hidup ketika ini.

Apa yang lebih penting adalah cara kerajaan menangani isu ini supaya keperluan hari ini tidak mengorbankan kehidupan pada hari tua.

Sebagai contoh, jika pendapatan meningkat tetapi kos keperluan asas turut bertambah, sejauh mana rakyat benar-benar mempunyai lebihan wang untuk disimpan, melabur atau digunakan bagi meningkatkan taraf hidup?

Memetik perkongsian Felo Penyelidik Pusat Ekonomi Islam Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Profesor Madya Dr. Muhammad Irwan Ariffin, pendekatan seimbang diperlukan supaya peningkatan pendapatan rakyat tidak terhakis akibat peningkatan kos.

“Sekiranya kerajaan hanya menumpukan kepada usaha meningkatkan pendapatan rakyat, tetapi tidak melihat kepada keperluan mengurangkan kos, hasil daripada peningkatan pendapatan itu mungkin tidak dapat diterjemahkan kepada peningkatan kebajikan rakyat secara berkesan,” katanya.

Pandangan itu menunjukkan cabaran Bajet 2027 bukan sekadar meningkatkan pendapatan, tetapi memastikan rakyat benar-benar mempunyai kuasa beli yang lebih baik.
Ini kerana, KWSP sendiri sudah menyediakan Akaun Fleksibel yang membolehkan ahli membuat pengeluaran pada bila-bila masa.

Namun, setiap ringgit yang dikeluarkan hari ini bermakna simpanan untuk hari tua turut berkurangan.

Malah Mulai 1 Januari 2027, tahap Simpanan Asas KWSP pada umur 60 tahun ditetapkan sebanyak RM300,000.

Justeru, sebarang kelonggaran baharu sekiranya dipertimbangkan perlu mencari titik tengah antara memberikan ‘nafas’ kepada isi rumah yang tertekan dengan memastikan simpanan persaraan tidak semakin susut.

Ini penting kerana isu kecukupan simpanan persaraan bukan masalah jangka pendek, sebaliknya berkait dengan keperluan rakyat menampung kehidupan untuk tempoh yang semakin panjang berikutan peningkatan jangka hayat.

Sekiranya mereka yang betul-betul memerlukan wang KWSP, kerajaan perlulah mempertimbangkannya kerana mereka memerlukan untuk kelangsungan hidup. Terserah kepada kebijaksanaan mereka untuk menilai perkara ini.

The post Apa berita gembira pencarum KWSP dalam bajet 2027 appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved