
PETALING JAYA: Sebanyak 80 peratus daripada 4.1 juta pendeposit Tabung Haji (TH) dikenal pasti belum melengkapkan simpanan minimum RM15,000 bagi membolehkan mereka diberi giliran menunaikan haji.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, angka itu mencerminkan keperluan pendeposit membuat persediaan lebih awal untuk menunaikan ibadah berkenaan.
Katanya, kadar simpanan minimum RM15,000 bagi inisiatif Seruan Istito’ah mengambil kira kadar bayaran haji bagi jemaah kumpulan B40, berbanding kos sebenar berjumlah RM33,300.
“Ia juga ditetapkan sebagai penanda aras tahap kesiapsiagaan simpanan pendeposit dalam mencapai istito’ah kewangan, iaitu pelan persediaan haji menyeluruh baharu.
“Ia bertujuan memupuk budaya persediaan haji lebih awal,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman rasmi Parlimen hari ini.
Beliau menjawab soalan Mohd. Nazri Abu Hassan (PN-Merbok) mengenai rasional keputusan TH menetapkan pendeposit perlu melengkapkan simpanan minimum RM15,000 sebelum diberi giliran menunaikan haji sehingga 31 Disember 2028.
Zulkifli berkata, sejak syarat itu diperkenalkan, kadar permohonan penangguhan haji dalam kalangan bakal jemaah menurun daripada separuh tawaran kepada hanya 18 peratus.
Katanya, pengalaman TH sebelum ini menunjukkan ramai bakal haji tidak membuat persediaan secukupnya apabila separuh daripada tawaran haji dimohon untuk ditangguhkan.
“Bagaimanapun, kadar ini menurun kepada hanya 18 peratus apabila TH mula menetapkan syarat simpanan RM15,000 untuk menerima tawaran haji dan membuat peringatan awal, seawal dua tahun kepada bakal jemaah.
“TH masih mengekalkan prinsip ‘dahulu didahulukan’ dengan memberi masa lebih dua tahun sehingga 31 Disember 2028 kepada pendeposit berdaftar untuk meningkatkan simpanan dan mengekalkan giliran haji mereka,” katanya. –UTUSAN
The post 80 peratus pendeposit belum cukup simpanan RM15,000 untuk tunai haji appeared first on Utusan Malaysia.






